Kuala Lumpur: Kes tuntutan yuran guaman RM12.5 juta difailkan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap BERSATU dan tiga pemimpin parti itu, akan diputuskan hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas pihak pembelaan menutup kesnya.
Antara yang dipanggil memberi keterangan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas ketua setiausaha sulitnya, Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Haniff memfailkan saman pada 2021 untuk memperoleh yuran guaman RM12.5 juta daripada BERSATU.
Beliau turut menamakan Muhyiddin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari, Datuk Salleh Bajuri sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Invois tidak dilayan
Sebelum memfailkan saman itu, Haniff berkata, beliau sudah mengeluarkan invois kepada BERSATU, namun tiada tindakan daripada pihak parti.
Antara khidmat didakwa diberikan Haniff kepada parti itu ialah perkara berkaitan pendaftaran BERSATU dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), menguruskan kes mahkamah bagi pihak parti dan isu pembabitan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.
Khidmat guamannya dihentikan pada 24 Februari 2020 selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU ketika itu, meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan membawa kepada pembentukan PN yang merampas kuasa daripada PH.
Sehubungan itu, Haniff memohon tuntutan bagi khidmat guamannya kepada BERSATU yang berakhir pada 24 Februari 2020.
Dalam pembelaannya, BERSATU mendakwa Haniff berkhidmat secara ‘pro bono’ dari 2016 hingga 2020.
Haniff memberitahu mahkamah, sehingga hari ini, BERSATU tidak pernah memfailkan sebarang bantahan terhadap invois RM12.5 juta itu di mahkamah seperti yang dikehendaki mengikut Akta Profesion Undang-undang.
© New Straits Times Press (M) Bhd