Kes Tze Yong satu dari 2,000 pembedahan

Kes Tze Yong satu dari 2,000 pembedahan

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persoalan mengenai situasi terkini perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akhirnya terjawab dan ia memang agak pelik kerana perkara berkenaan jarang berlaku dalam kalangan kes perubatan.

Menurut Pakar Perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Jasmiza Khuzairi Jasme, disebabkan ia terlalu jarang berlaku Tze Yong terpaksa menjalani pembedahan kali kedua bulan lalu.

“Satu kes dalam 2,000 pembedahan. Sesuatu yang jarang berlaku pasca pembedahan pertama yang dijalaninya pada Februari lalu,” katanya.

Ujar Jasmiza, selepas pembedahan pertama, mereka mendapati pada ada perkembangan yang positif.

“Namun, selepas itu dia ada mengadu rasa tidak selesa di bahagian belakang, apabila kita lakukan ujian MRI (pengimejan resonan magnetik) kita dapati ada ketulan air di bahagian belakang.

“Ini adalah satu perkara yang sangat jarang berlaku. Mengikut kajian, hanya satu kes berlaku dalam 2,000 pembedahan yang dibuat dan ia terjadi kepada Tze Yong pula. Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kita,” katanya.

Tambah Jasmiza, susulan keadaan yang dialami Tze Yong itu, pemain berkenaan dinasihatkan menjalani pembedahan kedua bagi mempercepatkan proses pemulihannya.

“Sepatutnya tidak perlu pembedahan pun kerana ketulan itu boleh kecut dengan sendiri. Namun, disebabkan dia atlet kita tidak mahu tunggu lama dan kita nak percepatkan proses pemulihan itu,” katanya.

Berdasarkan perkembangan terkini beliau merasakan Tze Yong akan kembali menyertai kejohanan seawal Ogos depan.

“Selepas pembedahan kedua, kita nampak ada perkembangan yang positif dalam proses pemulihannya. Namun, kali ini kita tidak mahu terlalu terburu-buru. Kita jangkakan dia akan kembali pulih dalam tempoh tiga bulan.

“Ketika ini dia sedang mengikuti program pemulihan di ISN untuk mendapatkan semula kekuatan asasnya.

“Apabila dia dapat kekuatan asas itu semula, baru dia akan kembali berlatih di gelanggang dan seterusnya kita jangkakan dia boleh kembali menyertai kejohanan seawal Ogos depan,” katanya.

Tze Yong hanya sempat beraksi dalam dua kejohanan musim ini iaitu Terbuka Malaysia pada Januari yang menyaksikan dia mula mengalami kecederaan belakang itu dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada Februari.

Kecederaan yang menimpa naib juara Terbuka Artik 2023 menyaksikan dia terlepas tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun suatu ketika berada di landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke temasya terbesar dunia itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top