Suami kepada pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson iaitu Abdul Zachery Ghouse ditahan polis bagi membantu siasatan selepas wanita itu mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan, suspek ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, suspek melaporkan kejadian berlaku pada jam 10 pagi, 26 November lalu apabila pelakon terbabit berada di kediamannya di Kuantan, Pahang sebelum kejadian perselisihan faham berlaku.
Punca perselisihan faham adalah disebabkan aktres berkenaan telah diugut bunuh jika bertindak keluar dari kediaman mereka.
“Pelakon terbabit ingin tinggal berasingan selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Ketika itu, mangsa diugut suspek yang ingin membunuhnya jika keluar dari rumah sebelum dicederakan,” jelasnya.
Terdahulu, Zahnita Wilson mengejutkan ramai apabila berkongsi foto menunjukkan matanya yang kelihatan lebam.
Namun, enggan membuka aib suaminya, aktres itu bagaimanapun terpaksa mendedahkan perbuatan tersebut.
“Saya tidak mahu melakukan ini (kongsi foto), tetapi saya terpaksa.
“Ini menjadi punca kenapa saya tinggalkan rumah lama serta menjadi sebab saya selalu pakai cermin mata hitam,” tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan, Zachery ditahan selama tiga hari bermula pada Selasa hingga Khamis bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Sekadar info, pelakon filem Gila Gila Pengantin Remaja itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Sumber: Berita Harian
Kredit Foto: Buletin TV3




