Kes video TikTok, PDRM buat siasatan dalaman

Kes video TikTok, PDRM buat siasatan dalaman

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (DPRM) memindahkan seorang jurulatih lelaki di sebuah pusat latihan polis membuat tugas am pejabat, sehingga siasatan dalaman ke atasnya membabitkan dakwaan mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita melalui satu rakaman video di media sosial, selesai dilakukan.

Siasatan itu dijalankan selepas sebahagian rakaman video berdurasi 23 saat dimuat naik anggota polis terbabit menerusi akaun TikTok tular sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass, berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia boleh mencemarkan integriti PDRM dan profesionalisme di institusi pusat latihan polis.

“Siasatan dalaman ke atas jurulatih polis itu sudah dimulakan dan sehingga hasil siasatan diperoleh, anggota terbabit akan dipindahkan membuat tugas am pejabat.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kenyataan, perbuatan dan perilaku yang boleh ditafsirkan sebagai seksis dan seumpamanya dalam kalangan warga PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, segelintir netizen di media sosial hari ini melemparkan pelbagai komen negatif terhadap kenyataan dikeluarkan anggota polis terbabit.

Kenyataannya berhubung hukuman lompat bintang empat penjuru yang dikenakan kepada pelatih wanita sebagai satu yang ‘membahagiakan’ jurulatih itu ditafsirkan mereka sebagai gangguan seksual.

Zaini berkata, sebarang salah laku akan diambil tindakan tegas dan segera mengikut peruntukan undang-undang serta peraturan tatatertib pegawai awam sedia ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top