am@hmetro.com.my
Butterworth: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang wanita berusia 52 tahun yang ditemukan dengan kesan tikaman pada dada di kediamannya di Taman Desa Murni, Sungai Dua, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan mendedahkan tiada elemen jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Tiada unsur jenayah dikesan,” katanya kepada New Straits Times ketika dihubungi.
Azizee berkata, punca kematian adalah disebabkan oleh luka tikaman daripada senjata tajam.
“Siasatan dijalankan di bawah klasifikasi SDR dan mayat dituntut oleh suaminya semalam,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa, Koay Feu Chuen, seorang operator kilang yang dipercayai sedang menjalani rawatan psikiatri, ditemukan dalam takungan darah di bilik tidur rumah teres dua tingkat miliknya pada jam 9.30 pagi.
Suaminya memeriksa mangsa selepas dia tidak turun ke tingkat bawah seperti biasa untuk menyediakan sarapan.
Dia kemudian mendapati pintu bilik tidur berkunci dari dalam sebelum menemukan mayat isterinya.
Polis dan anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dikerahkan ke lokasi kejadian, di mana sebilah pisau turut dirampas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




