Kes warden rotan pelajar dirujuk kepada AGC

Kes warden rotan pelajar dirujuk kepada AGC

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan untuk pendakwaan terhadap seorang lelaki dipercayai warden sebuah maahad Tahfiz di Sungai Kob, Kulim yang didakwa merotan seorang pelajar berusia 11 tahun yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, kertas siasatan sudah pun dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak.

Beliau berkata, polis memohon perintah ‘ Oder To Investigate (OTI) bagi menahan lelaki itu dan disebabkan mangsa di bawah umur, ia dirujuk kepada Child Interview Centre (CIC) bagi memastikan mangsa dapat memberikan keterangan secara konsisten ketika di mahkamah nanti.

“Kita lengkapkan dengan laporan perubatan laporan CIC salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kita telah hantar lengkap kertas siasatan walaupun pada awalnya diklasifikasikan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah pun mengambil keterangan daripada warden yang disyaki itu dan hantar kepada AGC semalam dengan cadangan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak pengabaian kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecederaan, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Adzli berkata, setakat ini, polis sudah mengambil keterangan daripada warden terbabit serta beberapa murid di situ untuk membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan kejadian yang memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan oleh seorang lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim pada September lalu.

Kejadian yang berlaku pada 29 September itu membabitkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun dan warden maahad tahfiz itu dipercayai merotan murid berkenaan kerana mengganggu murid lain yang sedang belajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top