Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru kepada orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes Zara Qairina, bagi memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti.
Tegasnya, Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sentiasa memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan.
Kes Zara Qairina
“Saya mengikuti rapat kes kejadian kemalangan di sekolah yang melibatkan anakanda Zara Qairina baru-baru ini.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan. Tiada siapa yang akan dilindungi dan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya dalam sebuah hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan JPN Sabah menghulurkan bantuan segera termasuk sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Artikel lain: Kes Zara Qairina: Fadhlina minta jangan buat spekulasi, kejadian dalam siasatan
Kes Zara Qairina
“JPN Sabah komited untuk terus memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terpelihara.
“Ini dilakukan menerusi penyediaan bantuan segera termasuk aspek sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan berharap diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina yang juga merupakan seorang pelajar tingkatan satu di SMKA Tun Datu Mustafa ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah.
Zara menghembuskan nafas terakhir pada keesokkan harinya akibat kecederaan serius dan dipercayai menjadi mangsa buli pelajar lain.
Sumber: Facebook @Fadhlina Sidek