zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menyifatkan ‘plot twist’ yang mengaitkan anak guam mereka, Noraidah Lamat adalah satu naratif jahat dan jijik yang direka untuk memfitnah anak guam dan Allahyarham sendiri.
Dalam kenyataan bersama, peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser berkata, sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, semalam, membuktikan bahawa ‘plot twist’ yang ditularkan beberapa minggu lalu di platform media massa yang mengaitkan anak guam mereka sebagai punca kematian Zara Qairina adalah tidak benar.
Katanya, hasil siasatan Pasukan Petugas Khas JSJ Bukit Aman mendapati wujud keterangan-keterangan yang menjurus ke arah kejadian buli sebelum kematian Zara Qairina.
“Jika keterangan-keterangan di atas boleh dipercayai, kami mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara agar mendakwa individu-individu di dalam keterangan-keterangan itu yang melakukan buli di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan namun, sekiranya keterangan-keterangan di atas tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah Seksyen 507D (2) KK, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan berkenaan.
“Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan tadi dan pendakwaan dilakukan kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut berterima kasih kepada Datuk M Kumar, JSJ Bukit Aman dan Pasukan Petugas Khas kerana bertindak pantas.
Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis diminta tampil ke hadapan.
“Jika ada takut atau memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda boleh berjumpa dengan kami.
“Kami berterima kasih dan menghargai seluruh rakyat Malaysia yang menyokong dan berdoa mencari keadilan untuk Zara tetapi dalam masa sama, elakkan membuat spekulasi yang tidak benar tentang kes kematian Zara,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd