Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan penuh, terbuka dan telus berhubung kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir di Sabah, tanpa mengira status atau kedudukan pihak yang terlibat.
“Saya telah arahkan agar siasatan penuh, terbuka dan telus dijalankan berhubung kematian anak kita, Zara Qairina di Sabah.
“Tidak kira siapa pun yang terlibat, orang kenamaan atau orang biasa, tiada tolak ansur! Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar turut menegaskan tragedi itu tidak wajar dijadikan modal politik untuk menyerang atau membina keuntungan pihak tertentu.
“Namun kita tidak boleh jadikan tragedi ini sebagai modal politik. Jangan bina istana di atas pusara.
“Menggunakan kesedihan keluarga untuk menyerang atau membina keuntungan politik adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Nyawa yang terkorban bukan bahan permainan untuk diperalatkan,” katanya.
Menurut beliau, susulan syak wasangka dan mengikut lunas undang-undang, Peguam Negara telah mengarahkan supaya mayat Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
Perdana Menteri turut menegaskan pendirian Kerajaan MADANI bahawa tiada sesiapa akan dilindungi jika didapati bersalah.
“Saya tegaskan sekali lagi, ini Kerajaan MADANI. Tiada sesiapa, termasuk VIP, akan dilindungi jika bersalah. Pembunuh tetap pembunuh, dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan,” katanya.
Tiada siapa akan dilindungi
Artikel lain: PM Anwar beri jaminan, pelaku kes Zara Qairina tidak akan dilindungi
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Zara Qairina yang didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
Langkah itu bertujuan memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
AGC juga berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh setelah meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian remaja itu.
Sumber: FB Anwar Ibrahim