Kes Zara Qairina: Tidak tolak isu buli, serah pada Bukit Aman, 60 saksi dipanggil

Kes Zara Qairina: Tidak tolak isu buli, serah pada Bukit Aman, 60 saksi dipanggil

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis kini berada di fasa akhir siasatan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, yang ditemui jatuh dari bangunan asrama sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kertas siasatan kini sudah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian terakhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

“Kenyataan 60 saksi dirakam pasukan siasatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan juga beberapa keterangan lain.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang, kertas siasatan diserahkan ke Bukit Aman untuk pemerhatian dan juga penelitian akhir sebelum dirujuk kepada Peguam Negara.

“Semua saksi membabitkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah termasuk tiga pelajar yang dikaitkan dengan mangsa,” katanya dalam sidang media di lobi IPK Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan siasatan kini menjurus kepada dua elemen utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran sebelum insiden berlaku.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada 16 Julai lalu, manakala pelajar terbabit disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

“Pada 17 Julai, saya telah berbincang dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim sebelum pasukan khas dari IPK digerakkan ke lokasi untuk membantu siasatan.

“Memandangkan pelajar terkesan secara emosi dan trauma, kita turut membabitkan pakar kaunseling dalam sesi rakaman keterangan bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan adil,” katanya.

Mengulas dakwaan kononnya wujud unsur buli, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.

“Kita tidak menolak isu buli itu mungkin berlaku. Siasatan juga terarah kepada fakta isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Jauteh menafikan dakwaan kononnya salah seorang anaknya bersekolah di asrama berkenaan.

“Tidak pernah ada anak saya bersekolah di sekolah itu. Tuduhan sebegitu tidak wajar dan hanya menambah kekeliruan. Saya tegaskan, tidak ada anak saya yang sedang atau pernah belajar di situ.

“Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak orang berpengaruh yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri… saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.

“Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” katanya.

Menyentuh dakwaan kononnya pelajar itu anak kepada individu berpengaruh, beliau berkata perkara itu tidak menjadi fokus siasatan.

“Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu kita tidak membuat siasatan berkaitan dengan ini anak siapa,” katanya.

Katanya lagi, siasatan kes ini dijalankan dengan penuh profesionalisme dan ketelusan, mengambil kira emosi pelajar yang menjadi saksi.

“Kita mengambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan ini. Membabitkan 60 saksi dan juga semua saksi ini pun kita tidak dapat ambil secara terus.

“Kita juga memikirkan bahawa saksi-saksi ini adalah pelajar di sekolah itu yang mungkin hanya melihat atau mendengar ataupun berkawan dengan mangsa.

Berita berkaitan:

Mustapha sanggah fitnah mengaitkan isteri dengan kes Zara Qairina

Kes Zara Qairina jadi keutamaan KPM – FadhlinaKes Zara Qairina jadi keutamaan KPM – Fadhlina

‘Saya tak terbabit dengan peristiwa menimpa Zara, saya sudah bersara ketika insiden berlaku’ – Bekas pengetua‘Saya tak terbabit dengan peristiwa menimpa Zara, saya sudah bersara ketika insiden berlaku’ – Bekas pengetua

Polis masih siasat kes kematian Zara Qairina, minta henti spekulasi

KPM ulang jaminan siasatan kematian Zara telus, adil

‘Saya mahu siasatan telus dan adil’ – Ibu Zara Qairina

Polis siasat kes pelajar perempuan maut jatuh dari bangunan asramaPolis siasat kes pelajar perempuan maut jatuh dari bangunan asrama

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top