Kesabaran Brazil tuai hasil

Kesabaran Brazil tuai hasil

Houston: Kesabaran dan perubahan taktikal pada waktu rehat menjadi kunci kebangkitan Brazil untuk menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi dramatik pusingan 32 terbaik Piala Dunia, kata jurulatih, Carlo Ancelotti.

Brazil bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama sejak menewaskan England 2-1 pada suku akhir edisi 2002, selepas Gabriel Martinelli meledak gol kemenangan pada minit ke-95 bagi menewaskan Jepun yang memberikan tentangan sengit.

Ancelotti berkata beliau sentiasa yakin pasukannya mampu menjaringkan gol, namun perubahan taktikal pada separuh masa kedua dengan lebih banyak hantaran lintang ke dalam kotak penalti akhirnya membuahkan hasil apabila Casemiro menyamakan kedudukan sebelum Brazil menguasai permainan.

“Ini adalah perlawanan paling lengkap yang kami harungi di Piala Dunia setakat ini.

“Kami bergelut pada babak pertama kerana Jepun bertahan dengan sangat baik. Mereka menutup setiap ruang.

“Pada babak kedua, kami berjaya mendapatkan lebih banyak ruang dan menggunakan hantaran lintang ke dalam kotak penalti. Ia jelas satu perubahan taktikal yang berkesan.

“Ketika rehat, saya meminta pemain bersabar kerana saya yakin lambat laun kami akan menjaringkan gol. Pada masa sama, kami perlu mengekalkan struktur permainan supaya tidak memberi ruang kepada lawan.

“Jepun adalah pasukan yang sangat baik, tersusun, mampu mencipta peluang berbahaya dan sangat agresif dalam bertahan,” katanya.

Ancelotti turut memuji impak yang dibawa Martinelli selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.

“Martinelli seorang pemain yang memiliki intensiti tinggi. Dia sentiasa memberikan aksi terbaik apabila diturunkan,” katanya.

Pengendali berusia 67 tahun itu turut mengakui beliau bercadang menurunkan Neymar sekiranya perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

“Kami sudah memikirkan mengenai masa tambahan. Saya memberitahu Neymar bahawa jika kedudukan masih seri pada ketika itu, saya akan memasukkannya. Namun akhirnya kami tidak memerlukannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top