'Kesabaran kami sudah berakhir' – Iran beri amaran keras kepada AS

'Kesabaran kami sudah berakhir' – Iran beri amaran keras kepada AS

Istanbul: “Kesabaran” Tehran kini sudah berakhir, kata jurucakap Parlimen Iran pada Ahad ketika ketegangan yang berterusan dengan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Setakat hari ini (Ahad), kesabaran kami sudah berakhir. Sebarang serangan ke atas kapal-kapal kami akan dibalas dengan tindak balas yang berat dan tegas oleh Iran terhadap kapal serta pangkalan AS,” kata Ebrahim Rezaei, Jurucakap Jawatankuasa Dasar Luar dan Keselamatan Nasional Parlimen Iran menerusi platform media sosial X.

Rezaei turut memberi amaran bahawa “masa semakin suntuk buat kepentingan Amerika.”

“Langkah terbaik (bagi AS) adalah untuk menyerah kalah dan membuat konsesi,” katanya. “Mereka mesti menyesuaikan diri dengan orde serantau yang baharu.”

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lepas, yang mencetuskan serangan balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal mencapai persetujuan yang berkekalan. Tempoh gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump tanpa tarikh tamat yang ditetapkan, bagi memberi ruang kepada usaha diplomasi ke arah penyelesaian kekal peperangan berkenaan.

Sejak 13 April, AS telah menguatkuasakan sekatan maritim yang menyasarkan trafik perkapalan Iran di laluan air berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top