lizamridzuan@hmetro.com.my
Kenaikan harga diesel di Malaysia sejak kebelakangan ini bukan sekadar isu ekonomi mikro, tetapi berkembang menjadi satu tekanan nyata kepada golongan pengguna yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian dan pekerjaan.
Langkah penyasaran subsidi oleh kerajaan bermula Jun 2024 mengubah struktur harga bahan api, sekali gus memberi kesan langsung kepada pengguna di lapangan.
Sebelum pelaksanaan dasar tersebut, harga diesel berada pada sekitar RM2.15 seliter di bawah sistem subsidi menyeluruh.
Namun selepas rasionalisasi subsidi pada 10 Jun 2024, harga meningkat kepada sekitar RM3.35 seliter bagi Semenanjung Malaysia.
Sejak itu, harga diesel bergerak secara mingguan di bawah mekanisme Automatic Pricing Mechanism (APM), dengan julat sekitar RM3.00 hingga RM3.50 seliter bergantung kepada pergerakan harga minyak mentah dunia dan kadar tukaran mata wang.
Perubahan ini memberi kesan paling ketara kepada golongan pekerja dan pengusaha kecil yang bergantung kepada kenderaan diesel sebagai aset utama kerja, termasuk pemilik kenderaan trak pikap, pacuan empat roda (4×4), kontraktor binaan, serta operator logistik skala kecil.
Dalam sektor pembinaan misalnya, trak pikap memainkan peranan penting untuk ke tapak projek, membawa peralatan serta memastikan kelancaran operasi di kawasan yang sukar diakses.
Ciri seperti tork tinggi, ketahanan enjin dan keupayaan meredah permukaan mencabar menjadikan kenderaan diesel sebagai pilihan yang sukar diganti dalam jangka masa pendek.
Dari sudut pasaran automotif pula, data menunjukkan bahawa segmen trak pikap kekal berdaya tahan walaupun berdepan kenaikan kos bahan api.
Berdasarkan laporan rasmi Malaysian Automotive Association (MAA) bagi Februari 2026, jumlah keseluruhan jualan industri automotif (TIV) mencatatkan penurunan sebanyak 19.6 peratus kepada 52,414 unit berbanding 65,215 unit pada Februari 2025.
Penurunan ini bagaimanapun bukan didorong oleh faktor harga bahan api semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh bilangan hari bekerja yang lebih singkat serta cuti Tahun Baru Cina yang jatuh pada bulan tersebut.
Namun segmen kenderaan komersial termasuk trak pikap hanya mencatatkan penurunan kecil sekitar 1.9 peratus kepada 3,666 unit, jauh lebih rendah berbanding kejatuhan 20.7 peratus dalam segmen kenderaan penumpang.
Perbezaan ini menunjukkan bahawa walaupun kenaikan kos diesel mula memberi kesan kepada industri automotif, impaknya buat masa ini masih terkawal dalam segmen kenderaan komersial yang didorong oleh keperluan operasi.
Malah, bagi tempoh Januari hingga Februari 2026, jualan kenderaan komersial secara terkumpul meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada 7,595 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun begitu, sekiranya harga diesel terus meningkat secara berterusan, tidak mustahil tekanan kos ini akan mula memberi kesan yang lebih ketara kepada permintaan, khususnya dalam keputusan pembelian dan pengurusan operasi oleh pengguna komersial dalam industri automotif.
Seorang kontraktor binaan, Mazura Aminuddin berkata penggunaan kenderaan diesel iaitu trak pikap adalah keperluan asas dalam rutin kerjanya.
“Saya memerlukan kenderaan 4×4 untuk ke tapak projek, membawa peralatan serta memastikan kelancaran operasi kerja di pelbagai lokasi termasuk kawasan yang sukar diakses,”
“Namun begitu, peningkatan harga diesel memberi tekanan kepada kos operasi harian dengan peningkatan harga diesel, kos operasi harian turut meningkat secara mendadak. Situasi ini secara langsung memberi tekanan kepada margin keuntungan, khususnya dalam kalangan kontraktor kecil dan sederhana yang beroperasi dengan sumber kewangan terhad,” katanya lagi.
Tambahnya, dalam sesetengah keadaan mereka terpaksa menyerap kenaikan kos atau menyesuaikan harga perkhidmatan, yang akhirnya boleh memberi kesan kepada keseluruhan rantaian ekonomi.
Seorang lagi pengguna, Azhan Uthman yang merupakan ahli perniagaan turut berkongsi pandangannya terhadap situasi ini dan menurutnya, trak pikap sebelum ini menjadi pilihan utama kerana sifatnya yang versatil untuk kegunaan harian dan kerja.
“Saya membeli trak pikap kerana enjin diesel lebih jimat untuk perjalanan jauh, selain boleh memasuki laluan lasak dan mengangkut barang dengan mudah,” katanya.
Namun begitu, perubahan harga diesel sejak kebelakangan ini memaksanya untuk menilai semula corak penggunaan kenderaan tersebut.
Jika sebelum ini perjalanan harian tidak menjadi isu, kini setiap perjalanan perlu dirancang dengan lebih teliti.
“Sekarang saya lebih berhati-hati, bukan semua tempat saya akan guna trak pikap. Kalau boleh jimat, saya akan cari alternatif lain,” jelasnya.
Tambah Azhan, kenaikan kos bahan api turut memberi kesan langsung kepada operasi perniagaannya, terutama dari segi logistik dan penghantaran.
“Kita tak boleh elak sepenuhnya, tapi memang kena berkira. Kos operasi naik, jadi kita kena lebih bijak susun perjalanan dan perbelanjaan supaya perniagaan masih boleh berjalan seperti biasa,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, kesan perubahan ini mula kelihatan dalam kalangan pengguna tertentu yang mempertimbangkan alternatif lain bagi mengurangkan kos bahan api.
Namun, pilihan yang ada tidak semestinya praktikal untuk semua situasi, terutamanya bagi mereka yang mempunyai keperluan keluarga dan komitmen harian.
Secara keseluruhannya, kenaikan harga diesel mencerminkan satu peralihan dasar yang signifikan dalam pengurusan subsidi negara.
Walaupun matlamatnya adalah untuk memastikan bantuan lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan, kesannya di peringkat akar umbi menunjukkan bahawa masih terdapat keperluan untuk mekanisme sokongan yang lebih seimbang.
Tanpa pendekatan yang inklusif, golongan pekerja yang bergantung kepada kenderaan diesel berisiko terus berdepan tekanan kos yang berpanjangan, sekali gus memberi implikasi kepada produktiviti serta kestabilan ekonomi dalam skala yang lebih luas.
Sebagai alternatif jangka panjang, perkembangan teknologi kenderaan elektrik turut mula memasuki segmen trak pikap apabila UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan model Hilux generasi baharu yang merangkumi varian elektrik (BEV) di peringkat serantau, selari dengan strategi elektrifikasi global Toyota.
Walaupun langkah ini dilihat sebagai potensi pengganti kepada kebergantungan terhadap diesel, pelaksanaannya di Malaysia masih berdepan kekangan seperti harga yang dijangka lebih tinggi serta keterbatasan infrastruktur pengecasan, khususnya di kawasan luar bandar dan tapak projek. Justeru, peralihan kepada trak pikap elektrik dijangka berlaku secara berperingkat dan belum menjadi penyelesaian praktikal sepenuhnya bagi kebanyakan pengguna komersial buat masa ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




