Kesan trauma sebabkan remaja mangsa rogol tawar khidmat seks – Pakar psikologi

Kesan trauma sebabkan remaja mangsa rogol tawar khidmat seks – Pakar psikologi

amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kes remaja perempuan berusia 15 tahun di Kelantan yang menawarkan khidmat seks melalui aplikasi Telegram selepas menjadi mangsa rogol, sebenarnya membuka mata masyarakat mengenai kesan trauma mendalam yang boleh menjerumuskan mangsa sepertinya ke kancah lebih berbahaya.

Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kesan rogol tidak hanya bersifat jangka pendek tetapi juga memberi impak jangka panjang terhadap emosi, psikologi, fizikal, sosial dan spiritual mangsa.

Katanya, apa yang berlaku terhadap remaja berkenaan tidak wajar dipandang ringan kerana ia membabitkan faktor psikologi, sosial, ekonomi serta risiko keselamatan diri yang tinggi.

“Remaja yang pernah menjadi mangsa rogol atau penderaan seksual lebih berisiko terjebak dalam situasi seperti ini.

“Trauma yang tidak dirawat boleh membuatkan mereka hilang arah, rasa tidak berharga, lalu mencari jalan keluar yang salah,” katanya.

Menurutnya, antara punca remaja seperti kes itu menawarkan khidmat seks ialah masalah kewangan, pengaruh rakan sebaya, pendedahan media sosial, kekurangan kasih sayang keluarga serta ketiadaan kesedaran moral dan tidak didedahkan pendidikan seksual yang betul.

Beliau berkata, sebahagian remaja juga terpengaruh dengan budaya ‘sugar baby’ atau godaan gaya hidup mewah, manakala ada yang terjerat kerana hubungan keluarga renggang dan kurang perhatian.

“Isu ini bukan semata-mata masalah remaja nakal, tetapi lebih kepada eksploitasi, kekosongan jiwa dan kelemahan sistem sokongan. Jika tidak ditangani, ia boleh berulang dan menjejaskan masa depan mereka,” katanya.

Siti Fatimah berkata, adalah penting setiap individu dalam masyarakat menekankan peranan keluarga amat penting dalam mendidik dan memantau anak-anak, termasuk memastikan komunikasi terbuka serta memberi kasih sayang dan perhatian yang secukupnya.

“Selain itu, pendidikan seksual yang betul berlandaskan agama dan budaya tempatan juga perlu diberi penekanan supaya remaja memahami konsep harga diri, maruah serta keselamatan diri.

“Rawatan trauma melalui kaunseling juga sangat penting untuk membantu mangsa membina semula keyakinan diri. Kaunselor sekolah, NGO serta pusat perlindungan remaja boleh menjadi medium sokongan,” katanya.

Beliau turut menegaskan masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan dengan melaporkan individu atau sindiket yang mengeksploitasi remaja, selain mengadakan kempen kesedaran di sekolah dan komuniti.

Pada 22 September lalu, seorang ibu tunggal berusia 43 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa anak perempuannya yang berusia 15 tahun menawarkan khidmat seks melalui Telegram.

Siasatan awal mendapati khidmat pertama diberikan percuma, manakala bayaran dikenakan untuk kali kedua dan seterusnya.

Remaja terbabit yang juga pelajar sekolah menengah kemudian dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini mengesahkan remaja berkenaan pada awalnya adalah mangsa rogol dan polis kini sedang menyiasat faktor sebenar yang mendorongnya menawarkan khidmat seks.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top