Kuala Nerus: Perpaduan umat Islam perlu terus diperkukuh sebagai benteng menghadapi pelbagai cabaran semasa, khususnya dalam konteks geopolitik dan perkembangan dunia yang semakin mencabar.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata usaha menyatukan ummah perlu digerakkan secara bersepadu termasuk melalui wacana ilmu, kepimpinan serta pembangunan ekonomi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pidato sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026, di Perkarangan Kompleks Sukan, Gong Badak, di sini, malam ini.
Menurutnya, penganjuran program itu menjadi platform penting menghimpunkan pemikir, pemimpin dan cendekiawan dari dalam serta luar negara bagi membincangkan isu berkaitan umat Islam.
”Sebagai tuan rumah, kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penceramah, pembentang kertas kerja, pemidato serta tetamu jemputan dari negara ASEAN dan seluruh tanah air yang berkongsi pandangan dalam ijtimak ini,” katanya.
Acara kemuncak program itu turut disertai Presiden PAS, Tan Sri Dato Seri Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pemimpin lain termasuk Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim, Setiausaha Agung Pas, Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya serta Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.
Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, empat perkara utama dibincangkan dalam sesi meja bulat sepanjang program berlangsung.
Katanya, ia merangkumi usaha mengurus perbezaan pandangan fiqh dan mazhab di Alam Melayu sebagai model kesatuan Islam di peringkat serantau.
”Selain itu, turut dibincangkan peranan kepimpinan Islam di rantau ASEAN dalam mencorakkan arah baharu gerakan politik dan sahsiah umat.
”Perbincangan juga menyentuh pembinaan ekonomi Muslim di Nusantara serta usaha memperkukuh jati diri umat dalam menghadapi cabaran dalaman dan luaran,” katanya.
Beliau berharap hasil perbincangan itu dapat dimanfaatkan bagi memperkukuh perpaduan ummah serta memberi impak positif kepada pembangunan umat Islam di rantau ini.
Terdahulu dahulu, Ahmad Samsuri menyertai acara konvoi bermotosikal yang turut disertai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.
Katanya, konvoi membabitkan lebih 15,000 motosikal itu bukan sekadar perjalanan di jalan raya sebaliknya ia simbol perjalanan sebagai satu ummah.
”Insya-Allah, langkah kecil hari ini akan jadi asas besar untuk masa depan ummah yang lebih kukuh. Moga diberkati usaha kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




