Kesejahteraan Lebih Baik Dengan Penggunaan Tenaga Bijak : Skim Masa Penggunaan (ToU) Terus Memacu Penjimatan Pelanggan Dalam Prestasi Suku Ketiga TNB 2025 | Oh! Negara – Oh! Media

Kesejahteraan Lebih Baik Dengan Penggunaan Tenaga Bijak : Skim Masa Penggunaan (ToU) Terus Memacu Penjimatan Pelanggan Dalam Prestasi Suku Ketiga TNB 2025 | Oh! Negara – Oh! Media

Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengukuhkan peranannya sebagai penyedia tenaga utama negara dengan memberi tumpuan utama kepada pelanggan.

Dalam laporan prestasi suku ketiga 2025, TNB menekankan komitmen mereka terhadap pemerkasaan pengguna, sokongan komuniti, serta usaha memastikan bekalan tenaga negara sentiasa stabil dan mampan untuk jangka masa panjang.

Dengan memberi keutamaan kepada infrastruktur yang lebih mesra pelanggan, TNB menunjukkan perubahan strategik yang selari dengan keperluan semasa rakyat Malaysia.

ToU Semakin Diterima & Isi Rumah Lebih Bijak Urus Bil

Salah satu perkembangan paling ketara tahun ini ialah sambutan terhadap ciri produk pilihan Time of Use (ToU) atau Skim Masa Penggunaan yang diperkenalkan kepada pengguna domestik sejak 1 Julai yang lalu. 

Dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air  (PETRA), ToU direka untuk membantu isi rumah mengurus dan mengawal penggunaan elektrik dengan lebih bijak mengikut kadar masa tertentu.

Sejak pelancarannya, lebih 70,000 pengguna telah beralih kepada ToU, menandakan peningkatan kesedaran mengenai cara penggunaan elektrik boleh dioptimumkan untuk penjimatan jangka panjang. 

Ia juga menunjukkan rakyat semakin memahami bagaimana perubahan tabiat kecil boleh memberi impak besar terhadap bil bulanan.

Pada masa sama, pemasangan meter pintar turut dipercepatkan bagi membolehkan lebih ramai pengguna melihat dan memantau corak penggunaan elektrik mereka secara telus. Sehingga kini, 5,081,063 meter pintar siap dipasang di seluruh negara.

Rebat AFA Bantu Ringankan Beban Bil Elektrik

Inisiatif penjimatan tidak terhad untuk ToU sahaja. Melalui mekanisme pelarasan kos bahan api automatik (AFA), rakyat Malaysia telah menikmati penjimatan lebih RM250 juta secara kolektif sejak ia diperkenalkan. 

Rebat ini memberi kesan langsung kepada bil elektrik bulanan dan pada masa sama membantu operasi TNB bergerak lebih stabil dan cekap.

myTNB & Infrastruktur EV Semakin Kukuh

Transformasi digital TNB juga semakin menyerlah apabila kini 7.1 juta pelanggan menggunakan aplikasi myTNB bersamaan 70% daripada keseluruhan pelanggan. 

Ini menunjukkan pengguna semakin selesa melakukan transaksi dan pengurusan akaun tenaga secara digital.

Selain itu, usaha memperluas ekosistem kenderaan elektrik (EV) turut dipertingkatkan selari dengan pelan hala tuju EV Kerajaan. 

Setakat September 2025, terdapat 5,109 titik pengecas di seluruh negara. Sejak awal tahun, rangkaian ini telah membekalkan lebih 10 GWh tenaga dan menjana sekitar RM5.1 juta, ini merupakan tanda jelas penggunaan EV semakin meningkat dan infrastrukturnya semakin dipercayai.

“Keutamaan TNB sentiasa adalah untuk memastikan pelanggan kami berasa disokong, dimaklumkan dan diperkasa untuk membuat keputusan. Kami akan terus memperkukuh setiap titik sentuhan, merangkumi digital, operasi dan perkhidmatan dengan matlamat tunggal untuk memberikan nilai sebenar dan penjimatan bermakna kepada rakyat,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

“Komitmen kami jelas dan tegas: kami akan terus mengambil setiap langkah yang perlu, secara berdisiplin dan bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang serta menambah baik pengalaman tenaga rakyat Malaysia.” 

Kestabilan Operasi Dorong Prestasi Kewangan Kukuh

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, TNB berjaya mencatat pendapatan RM3.2 bilion, selari dengan jangkaan pasaran. 

Prestasi stabil ini dipacu oleh permintaan elektrik yang kukuh serta peningkatan jualan dalam semua segmen utama. Sehingga September 2025, jumlah jualan elektrik mencecah 99,930 GWh, didorong terutamanya oleh sektor komersial yang terus berkembang.

Selain itu, TNB turut mendapat manfaat keuntungan daripada terjemahan pertukaran asing sebanyak RM350 juta hasil pengukuhan nilai ringgit daripada RM4.471/USD pada Disember 2024 kepada RM4.215/USD pada September 2025.

Pada peringkat operasi pula, TNB melabur RM3.1 bilion dalam suku ketiga sahaja untuk meningkatkan kebolehpercayaan grid. Pelaburan ini membantu menambah baik Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) yang kini turun kepada 46.65 minit berbanding 47.62 minit sebelumnya – menunjukkan gangguan elektrik semakin berkurang dan lebih cepat ditangani.

Menyumbang Kembali Kepada Rakyat

Komitmen TNB tidak hanya terhenti pada aspek teknikal. Bermula Januari hingga September 2025, pelbagai program CSR telah  dijalankan untuk menyokong kesejahteraan masyarakat:

●  Sokongan Pendidikan (RM96 juta): Bantuan kepada pelajar melalui UNITEN dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bagi memperkukuhkan pembangunan bakat masa hadapan negara.

●  Sumbangan Zakat (RM9.15 juta): Disalurkan kepada lebih 32,000 penerima asnaf untuk tujuan Fisabilillah.

●  Program Khidmat Masyarakat (RM3.81 juta): Bantuan komuniti kepada hampir 100,000 individu termasuk melalui inisiatif Better Brighter Shelter dan Projek Mesra Rakyat.

●  Inisiatif Kesihatan (RM515,800): Bantuan perubatan kepada 2,825 penerima, termasuk sokongan dialisis melalui Yayasan Amal Maaedicare dan bantuan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia.

●  Bantuan Bencana (RM711,250): Bantuan kecemasan kepada 4,000 individu terjejas akibat banjir, ribut dan kebakaran.

●  Pembangunan Sukan (RM8.3 juta): Sokongan kepada 35,138 atlet dan peminat sukan termasuk program hoki kebangsaan.

●  Pemuliharaan Biodiversiti (RM523,565): Penanaman terumbu karang dan pemulihan ekosistem di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tioman.

Usaha berterusan ini menggambarkan bahawa TNB bukan sekadar penyedia tenaga, tetapi juga organisasi yang turut memainkan peranan besar membina masa depan masyarakat.

Menuju Ekosistem Tenaga Lebih Mampan

Secara keseluruhan, laporan suku ketiga TNB menunjukkan perjalanan yang konsisten dan kukuh ke arah ekosistem tenaga yang lebih mampan, inklusif dan berfokuskan rakyat. 

Dengan gabungan inovasi, pengukuhan operasi dan pelaburan strategik, TNB menekankan komitmennya untuk terus memberikan nilai sebenar untuk hari ini dan masa depan.

author avatar

Mastura adalah Ketua Penulis Editorial sepenuh masa di Oh! Media, pakar dalam menyampaikan artikel pemasaran dengan gaya yang santai namun penuh informasi, memastikan setiap kandungan mudah difahami dan relevan untuk pembaca.

Scroll to Top