Keselamatan Malbatt 850-12 di Lubnan terkawal, stabil – PTD

Keselamatan Malbatt 850-12 di Lubnan terkawal, stabil – PTD

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Keadaan keselamatan pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan terkawal dan stabil.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, langkah kontigensi seperti penyediaan bunker dilaksanakan supaya anggota sentiasa berwaspada dan tidak leka.

“Dari segi keselamatan memang dilaporkan mereka (Malbatt 850-12) dalam keadaan stabil, bagaimanapun kita sentiasa mengingatkan anggota yang bertugas di sana supaya sentiasa dalam keadaan waspada.

“Kita khuatir, takut ada tindakan di luar kawalan oleh pihak yang bertelagah yang mungkin menembak ke kawasan tugasan kita.

“Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi insiden yang begitu berisiko tinggi, namun kita sentiasa berwaspada,” katanya yang ditemui ketika Majlis Ramah Mesra PTD dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama Keluarga Malbatt 850-12 di Dewan Serigala Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Darat, Puan Sri Hartiah Hamzah.

Menurut Muhammad Hafizuddeain, pasukan Malbatt 850-12 yang berangkat ke Lubnan pada November 2024 akan pulang secara beransur menjelang November tahun ini dan akan digantikan dengan pasukan Malbatt 850-13.

Katanya, setakat ini, sepanjang penugasan, anggota dibenarkan cuti tahunan dan kini mereka sudah mula bercuti selama sebulan secara berperingkat.

Mengulas mengenai Malbatt 850-13, beliau berkata, pasukan itu akan terdiri daripada 850 anggota termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

“Pasukan ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan buat masa ini, masih di peringkat pemilihan komander dan pegawai staf.

“Unit yang dipilih untuk Malbatt 850-13 adalah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang.

“Kumpulan ini akan mula dikumpulkan pada Jun nanti bagi melaksanakan Latihan Integrasi Daya (Force Integration Training) di Port Dickson, Negeri Sembilan,” jelasnya.

Pada majlis itu, keluarga anggota Malbatt 850-12 termasuk isteri dan anak-anak disantuni termasuk dengan memberi peluang membuat panggilan video secara langsung dengn anggota di Lubnan.

Keluarga anggota Malbatt 850-12 turut menerima sumbangan, selain turut disampaikan, sumbangan kebajikan kepada ahli keluarga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang diuji dengan masalah kesihatan.

Berkongsi cerita, meskipun terpaksa berjauhan dengan suami yang menjalankan tugas Malbatt 850-12 di Lubnan, isteri kepada Koperal Muhammad Fared Amran, 34 iaitu Nur Fazliana Mazli, 33, akur dan memahami tugas suaminya yang berkhidmat demi negara.

Baginya, pengalaman berjauhan dengan suami bukan sesuatu yang asing, namun beliau cekal menguruskan anaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang saat ditinggalkan dalam tempoh yang paling lama setakat ini iaitu setahun.

“Anak kedua saya berusia lima tahun ada masalah jantung berlubang tetapi lubang itu semakin mengecil, jadi sekarang ini saya perlu bawa dia mendapatkan pemeriksaan susulan.

“Saya selalu pesan pada suami, jangan risau dengan keadaan saya serta anak-anak, saya mahu dia fokus pada tugasnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top