Keselamatan siber, data antara tumpuan utama kerajaan – Fahmi

Keselamatan siber, data antara tumpuan utama kerajaan – Fahmi

Shah Alam: Keselamatan siber dan perlindungan data terus menjadi tumpuan utama kerajaan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju keselamatan siber di Asia Tenggara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata, langkah tersebut penting memandangkan ekonomi digital kini menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

“Kita dapati keselamatan siber antara isu kritikal bukan hanya untuk syarikat-syarikat di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia kerana data adalah antara perkara yang paling penting terutamanya dalam ekonomi digital,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Siber Serantau Leonardo di sini hari ini.

Turut hadir Duta Besar Itali ke Malaysia Raffaele Langella, Pengarah Urusan Leonardo Malaysia Lorenzo Pariani serta Pengarah Urusan Bahagian Penyelesaian Siber dan Keselamatan Leonardo Andrea Campora.

Fahmi berkata, pelaburan Leonardo bukan sahaja mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Itali malah turut membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan keselamatan siber pada skala serantau.

Beliau berkata, kerajaan juga berminat meneliti model sovereign cloud yang dibangunkan di Itali oleh Leonardo terutama dari segi keselamatan dan kedaulatan data.

“Kita akan teliti apa yang telah berjaya mereka lakukan di Itali… sekiranya ada aspek yang boleh kita teladani dan fahami cabaran yang mereka hadapi, mungkin boleh menjadi pengajaran dan juga membantu kita dalam usaha untuk mewujudkan sovereign cloud untuk Malaysia,” katanya.

Fahmi turut optimis pusat itu, yang kini mempunyai 40 pekerja, berpotensi berkembang pesat seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Campora berkata, Malaysia dipilih sebagai hab serantau kerana kestabilan politik, visi digital kerajaan, rangka kerja keselamatan siber yang kukuh serta komitmen negara melindungi infrastruktur kritikal.

“Kami percaya kami boleh membawa pelbagai kepakaran dan pengalaman yang kami miliki dalam platform keselamatan siber, kita berkongsi semua platform dari segi kemampuan, pengalaman dan sebagainya… saya harus katakan bahawa peraturan berkaitan keselamatan siber di Malaysia adalah sangat dinamik.

“Saya meneliti Akta Keselamatan Siber anda, teramat maju… peraturan perlindungan data, juga MyDigital ID… semua ini menunjukkan hala tuju negara, yang menunjukkan betapa pentingnya perkara ini bagi anda,” katanya sambil menambah kos operasi di sini juga lebih jimat berbanding di Eropah.

Beliau berkata, pusat itu kini menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di Australia dan dijangka berkembang dengan tumpuan ke arah memperkukuh ekosistem keselamatan siber tempatan.

Pusat berkenaan merupakan sebahagian rangkaian Global CyberSec Centre (GCC) Leonardo yang berpangkalan di Chieti, Itali.

Ia disokong oleh pusat serantau di Brussels, Bristol dan Riyadh yang menyediakan jaminan misi siber kepada pelanggan strategik termasuk sektor pertahanan dan infrastruktur kritikal negara melalui gabungan teknologi canggih, perkongsian maklumat ancaman serta prosedur operasi standard.

Leonardo telah bertapak di Malaysia lebih 40 tahun, menyumbang kepada pembangunan sektor pertahanan dan aeroangkasa negara melalui penyediaan helikopter ketenteraan dan komersial, pesawat tentera, sistem pertahanan bersepadu, radar, keupayaan maritim, peperangan elektronik serta penyelesaian keselamatan untuk infrastruktur dan komunikasi kritikal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top