Kesempurnaan puasa terletak pada imsak

Kesempurnaan puasa terletak pada imsak

PUASA dalam Islam adalah suatu ibadah yang sarat dengan rahsia dan hikmah. Ia bukan sekadar menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri pada waktu tertentu, tetapi suatu latihan rohani menyeluruh berasaskan konsep ‘imsak’ iaitu menahan diri daripada segala yang merosakkan kesucian zahir dan batin. Mengikut ahli bahasa terkenal Ibn Manzur (m 1312) yang menulis dalam kamusnya yang terkenal, Lisan al-Arab, kalimah ‘sawm’ yang kita terjemahkan sebagai ‘puasa’ membawa maksud ‘imsak’ iaitu di bawah akar kata ‘m-s-k’ bermaksud ‘menahan, memegang, mengawal, atau mengikat’.

‘Imsak’ inilah inti pati puasa. Tanpa imsak yang sebenar, puasa hanya tinggal bentuk luaran tanpa roh penghayatan. Melalui imsak, seseorang Mukmin dididik untuk mengenal batas diri, mengawal hawa nafsu serta menyedari hakikat kehambaan di hadapan Allah SWT.

Kalimah imsak ini sering kita dengar dalam pada Ramadan khususnya merujuk kepada waktu imsak yang dikira sekitar 10 minit sebelum masuk waktu Subuh ketika kita sedang enak bersahur sebagai waktu berjaga-jaga untuk mula ‘menahan diri’ daripada makan minum dan perkara membatalkan puasa.

Secara zahir, imsak difahami sebagai sekadar menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari. Ia adalah disiplin jasmani yang jelas dan terukur.

Namun, hakikat imsak tidak berhenti pada dimensi fizikal. Secara batin, imsak menuntut pengendalian yang lebih halus dan mendalam iaitu menahan lidah daripada dusta, umpatan dan kata-kata kesat, menahan mata daripada pandangan yang haram, menahan telinga daripada mendengar keburukan, menahan tangan daripada kezaliman serta menahan hati daripada sifat iri, riyak, takbur dan dengki.

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa ada orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh apa-apa selain lapar dan dahaga. Teguran ini menunjukkan bahawa rahsia puasa terletak pada kesempurnaan imsak, bukan sekadar pada pengosongan perut.

Imsak mendidik manusia tentang makna kebebasan yang sebenar. Dalam dunia moden yang sering menyanjung kebebasan tanpa batas iaitu kebebasan untuk menikmati, memiliki dan memenuhi setiap kehendak, puasa datang sebagai koreksi rohani. Ia mengajarkan bahawa kebebasan hakiki bukanlah kebolehan menuruti setiap keinginan, tetapi kemampuan menguasainya. Seseorang yang mampu menahan diri ketika berkuasa untuk makan dan minum sebenarnya sedang membina kekuatan dalaman luar biasa. Dia belajar dirinya bukan hamba kepada selera, bukan tawanan kepada syahwat, dan bukan tunduk kepada desakan hawa nafsu. Inilah rahsia tarbiyah puasa kerana ia memerdekakan manusia daripada perhambaan kepada diri sendiri.

Lebih mendalam lagi, imsak membentuk kesedaran tauhid yang halus. Seorang yang berpuasa boleh sahaja makan dan minum secara sembunyi tanpa diketahui manusia, tetapi dia memilih untuk menahan diri kerana menyedari Allah Maha Melihat. Kesedaran inilah yang menumbuhkan sifat muraqabah iaitu rasa diawasi oleh Allah dalam setiap keadaan. Puasa menjadi ibadah yang paling tersembunyi dan paling ikhlas kerana tiada siapa yang benar-benar mengetahui hakikatnya kecuali Allah. Imsak melatih jiwa agar sentiasa hidup dalam pengawasan Ilahi, sekali gus membina asas takwa yang kukuh.

Selain itu, imsak turut menyentuh dimensi sosial kehidupan. Apabila seseorang merasai lapar dan dahaga, dia lebih mudah memahami penderitaan golongan miskin dan yang kekurangan. Pengalaman ini menumbuhkan empati dan belas ihsan. Puasa bukan sahaja memperhalus hubungan dengan Allah, tetapi juga mempererat hubungan sesama manusia. Imsak daripada sifat bakhil menumbuhkan sifat dermawan, imsak daripada kemarahan menumbuhkan kesabaran, imsak daripada kebencian melahirkan kemaafan. Dalam suasana Ramadan, semangat memberi dan berkongsi menjadi lebih subur kerana jiwa dilunakkan oleh latihan menahan diri.

Daripada sudut psikologi dan kerohanian, puasa ialah madrasah penyucian hati. Hawa nafsu yang biasanya dominan menjadi lemah apabila keperluan jasmani dikurangkan. Dalam keadaan lapar dan sunyi, hati menjadi lebih peka terhadap zikir, doa dan tadabbur al-Quran. Imsak membuka ruang keheningan yang jarang diperoleh dalam kesibukan kehidupan harian. Melalui pengurangan keinginan fizikal, manusia berpeluang menumpukan perhatian kepada dimensi rohani yang lebih tinggi. Di sinilah nafsu yang cenderung kepada kejahatan (al-nafs al-ammarah) dilatih agar beralih kepada jiwa yang lebih tenang dan terdidik.

Imsak juga mengajar disiplin masa dan keteraturan hidup. Seorang Muslim bangun sebelum fajar untuk bersahur, menahan diri sepanjang hari, dan berbuka pada waktu yang ditentukan. Seluruh hari diatur menurut jadual yang selaras dengan ketentuan syarak. Disiplin ini membentuk keperibadian yang tertib dan beradab. Seseorang yang mampu mengurus dirinya sepanjang Ramadan sepatutnya mampu membawa disiplin itu ke bulan yang lain. Maka, puasa bukanlah ibadah musiman, tetapi latihan tahunan untuk membentuk insan yang seimbang dan berdisiplin.

Dalam konteks pembinaan akhlak, imsak menjadi asas kepada adab. Adab bermula dengan pengenalan akan batas antara yang halal dan haram, antara yang patut dan tidak patut, antara yang bermanfaat dan yang merosakkan. Puasa mendidik manusia agar sentiasa bertanya kepada dirinya: “Patutkah aku lakukan ini?” Soalan ini lahir daripada jiwa yang terlatih dengan imsak. Apabila seseorang terbiasa menahan diri daripada perkara yang halal pada siang Ramadan, dia sepatutnya lebih mampu menahan diri daripada perkara yang haram sepanjang hidupnya.

Kesimpulannya, rahsia puasa terletak pada penghayatan imsak yang menyeluruh iaitu menahan diri daripada segala perkara melalaikan, merosakkan dan merendahkan martabat insan. Puasa bukan sekadar menahan lapar, tetapi menahan ego; bukan sekadar menahan dahaga, tetapi menahan keangkuhan; bukan sekadar menahan keinginan jasmani, tetapi mendidik jiwa menuju takwa. Apabila imsak difahami secara mendalam dan diamalkan secara konsisten, puasa menjadi jalan penyucian diri, pembinaan akhlak, dan pembentukan insan beradab yang sedar akan tanggungjawabnya kepada Allah dan sesama manusia. Inilah rahsia puasa yang sebenar yakni suatu perjalanan daripada penahanan diri kepada kebebasan rohani, daripada disiplin zahir kepada kemuliaan batin, dan daripada ibadah individu kepada kesejahteraan masyarakat.

Sama-sama kita hayati puasa ini melalui pendekatan imsak agar kita memperoleh kesempurnaan dan hikmah puasa yang sebenar.

Penulis Felo Utama, Pengarah Pusat Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK)

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top