am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kesesakan luar biasa di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dilaporkan sejak kelmarin perlu ditangani segera bagi memulihkan imej negeri itu sebagai destinasi pelancongan serta memberi keyakinan kepada pelawat.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata masalah itu harus diselesaikan tanpa perlu memberi sebarang alasan terutamanya ketika Malaysia kini sedang membuat persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, apabila penyelesaian tidak diambil ia dibimbangi pelawat akan menangguhkan atau mempertimbangkan semula rancangan perjalanan mereka ke negara ini dan Pulau Pinang.
“Kita sudah melaung-laungkan Tahun Melawat Malaysia 2026, maka kita tidak mahu lihat kejadian ini kerana ia akan menjejaskan imej negara dan menyebabkan orang (pelawat)
menangguhkan lawatan ke negara Malaysia dan Pulau Pinang.
“Itu (masalah dihadapi) adalah perkara yang sangat asas, jadi tiada alasan dan perlu laksanakan sahaja.
“Oleh itu, ia mesti ditangani dengan segera bagi memulihkan imej serta keyakinan kepada pelawat,” katanya ketika ditanya berhubung isu kesesakan luar biasa yang dilaporkan di Balai Ketibaan Antarabangsa LTAPP.
Chow ditemui pemberita selepas Merasmikan Festival Nibong Tebal yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Chow berkata, kesesakan luar biasa itu tercetus daripada sistem baharu imigresen yang diperkenalkan namun tidak dapat beroperasi sepenuhnya.
“Ia (masalah) menjadi semakin rumit dengan frekuensi (kekerapan) ketibaan kapal terbang yang tiba dalam tempoh singkat yang menyebabkan kesesakan bertambah.
“Apabila penumpang daripada penerbangan terdahulu belum dapat lagi diproses tetapi datang lagi penumpang lain maka kita akan nampak (kesesakan itu) seperti yang dilaporkan dalam media,” katanya.
Media semalam melaporkan kesesakan luar biasa itu berpunca daripada lonjakan mendadak jumlah penerbangan serta jadual ketibaan pesawat yang terlalu rapat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




