Kesian sungguh orang Sungai Buaya

Kesian sungguh orang Sungai Buaya

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Sekurang-kurangnya lebih 20,000 penduduk di Bandar Sungai Buaya di sini, `terperangkap’ susulan kejadian tanah runtuh yang menyekat laluan utama sejak Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, laluan utama di Bukit Benggali di sini, runtuh sepanjang kira-kira 30 meter sekali gus menghalang kenderaan untuk melaluinya.

Difahamkan keadaan itu bukan hanya menyebabkan kesesakan trafik sejauh satu kilometer malah menyukarkan penduduk untuk bergerak atau keluar bekerja.

Pengusaha tadika swasta, Zaiton Ishak, 60, berkata, masalah tanah runtuh yang menjejaskan laluan utama itu perlu ditangani segera pihak berwajib.

Dia mencadangkan Kementerian Kerja Raya (KKR) lebih agresif dalam menangani isu ini demi keselamatan dan kemudahan penduduk.

“Bukan hanya tugas membaiki jalan yang rosak, malah longkang dan cerun bukit perlu diselenggara bagi memastikan masalah tidak berulang,” katanya.

Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Bandar Sungai Buaya, Mahmod Mat Ali, 61, pula berkata, kerja-kerja baik pulih laluan itu perlu dijalankan segera memandangkan ramai penduduk yang mengeluh.

“Ada anak-anak kami lambat ke sekolah dan ibu bapa lewat ke tempat kerja disebabkan masalah ini..

“Mungkin pihak berwajib boleh pertimbang untuk membenarkan kenderaan ringan seperti motosikal melalui kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jiwa Cakna Bandar Sungai Buaya, Datuk Ruslee Hashim berkata, beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk Jalan Sungai Buaya dinaik taraf dari dua lorong kepada empat lorong.

“Sejak persimpangan bertingkat Sungai Buaya dibuka pada 2014, didapati banyak kenderaan berat menggunakan laluan itu mengakibatkan kerosakan dan menimbulkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor menerusi hantaran di Facebook semalam, memaklumkan sudah melakukan lawatan ke lokasi kejadian.

Lawatan itu bertujuan untuk menentukan penilaian serta kaedah pembaikan kekal dan sementara, selain menentusahkan air yang mengalir di lokasi sama ada air terawat atau sebaliknya.

“Laluan FT1208 terbabit masih lagi ditutup untuk semua jenis kenderaan demi keselamatan pengguna.

“Pembaikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memudahkan pengguna dari Sungai Buaya ke Bukit Beruntung, Serendah dan sebaliknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top