razis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kembar siam, Muhammad Rosli, 28, dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) sejak Ahad lalu selepas tahap kesihatannya merosot secara tiba-tiba.
Perkara itu disahkan abangnya, Ahmad, 28, yang memaklumkan adiknya dikejarkan ke hospital selepas mengadu tidak sihat.
“Pada mulanya, doktor syaki Muhammad terkena jangkitan kuman, namun selepas pemeriksaan mendapati kansernya sudah merebak hingga ke buah pinggang.
“Semalam, doktor melakukan pembedahan untuk mengeluarkan salah satu buah pinggangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sejak semalam adiknya berada dalam keadaan separuh sedar dipercayai akibat kesan antibiotik yang diberikan kepadanya.
“Keadaannya masih stabil selepas menjalani pembedahan semalam, cuma dia belum sedar sepenuhnya,” katanya.
Katanya, keluarga terkejut dimaklumkan keadaan Muhammad itu kerana sebelum ini sudah disahkan pulih selepas menjalani rawatan di Arab Saudi.
“Sebagai abang, sudah tentu saya risau melihat keadaannya sekarang. Sebelum ini, Muhammad pernah dimasukkan ke wad akibat jangkitan kuman, namun keadaannya tidak seteruk sekarang.
“Saya mohon jasa baik seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesihatan Muhammad serta segala urusannya dipermudahkan untuk kembali sihat seperti sediakala,” katanya.
Ahmad berkata, kini ibu dan ayah bersama adik-beradik lain bergilir-gilir menjaga Muhammad di hospital.
Harian Metro pada Julai 2025, melaporkan Muhammad menjalani rawatan di Hospital King Fahd National Guard, Riyadh, Arab Saudi selepas disahkan menghidap kanser pundi kencing.
Sepanjang lapan bulan berada di negara itu, Muhammad menjalani lima pembedahan dan lima sesi kemoterapi sebelum disahkan pulih serta menjalani rawatan susulan.
Muhammad dan Ahmad pernah menggemparkan negara apabila menjalani pembedahan pembahagian hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2001.
Pada September 2002, mereka berjaya dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit di Hospital King Fahd National Guard.
© New Straits Times Press (M) Bhd

