London: Legenda Manchester United, Edwin van der Sar percaya kelab itu melepaskan pemain yang memiliki “kualiti luar biasa” iaitu Andre Onana.
Van der Sar mengenali Onana dengan baik selepas pernah bekerjasama ketika beliau memegang jawatan ketua pegawai eksekutif di Ajax.
Onana menghabiskan enam tahun bersama kelab Belanda itu sebelum menyertai Inter Milan, dan di situlah dia menarik minat Manchester United.
Harapan tinggi diletakkan kepada Onana selepas perpindahan bernilai £47 juta (RM282 juta) ke United, tambahan pula dia membantu Inter mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) sebelum tewas tipis kepada Manchester City.
Namun, Onana sering mengecewakan dalam skuad United apabila melakukan beberapa kesilapan sebelum digugurkan pada awal musim.
United kemudian meminjamkan penjaga gol Cameroon itu ke Trabzonspor selepas mendapatkan penjaga gol baharu, Senne Lammens, dengan kelab Turki itu dilaporkan mempunyai pilihan untuk menandatanganinya secara kekal pada musim panas nanti.
Walaupun Trabzonspor tidak mengaktifkan pilihan itu, Onana dijangka tetap akan dilepaskan pada penghujung musim dengan laporan menyatakan United sudah membuat keputusan untuk menjualnya.
Van der Sar mengakui Onana masih memiliki kualiti hebat, namun memahami keputusan bekas kelabnya itu susulan beberapa kesilapan “pelik” yang dilakukan pemain itu.
“Saya bekerja dengan Andre Onana selama tiga atau empat tahun di Ajax. Dia datang sebagai penjaga gol pilihan ketiga dan sangat bersemangat untuk menjadi pilihan utama.
“Saya fikir, dan saya masih fikir, dia memiliki kualiti luar biasa refleks dan kemahiran menggunakan kaki tetapi ada kalanya dia melakukan kesilapan yang membuatkan anda tertanya, ‘Itu memang pelik, bagaimana dia boleh buat begitu?’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




