Pelakon dan penyanyi Abby Abadi menitipkan nasihat buat anak perempuannya, Marissa Dania Hakim susulan isu rumah tangganya selepas didakwa berlaku lafaz cerai dan rujuk dengan suami, Ahmad Aslam.
Menerusi perkongsian di Threads, Abby meminta Marissa untuk mengambil masa untuk menghargai kehidupan serta terus belajar di atas apa yang berlaku.
BACA: Dua Kali Lafaz Cerai, Aslam & Marissa Kembali Rujuk Bulan Sama

“Pusing-pusing dulu lihat keindahan bumi milik Allah ini. Bagi peluang untuk diri merasa nikmat kehidupan yang Allah anugerahkan?
“Kalau hari ini Adik belum faham erti hidup, tak apa. Yang penting terus belajar.Jangan buat sesuatu sebab ramai buat, tapi buat bila sesuatu itu memberi ‘nilai’ untuk hidup Adik. Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat, tapi pada jiwa dan hati yang tenang,” tulisnya.
Sementara itu, Abby turut mengatakan kesilapan bukan bermakna seseorang itu gagal tetapi menjadikan seseorang itu lebih matang dan kuat.
“Nasihat Mama, Adik baru 20thn. Kesilapan itu bukaan makna Adik gagal. Itu tanda sedang belajar jadi manusia yang lebih baik dan matang. Anak Mama kuat,” tulisnya.
Difahamkan, hari ini Aslam dan Marissa hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang difailkan pada 10 Mac lalu.
Peguam syarie yang mewakili mereka berkata Aslam dikatakan kembali rujuk pada bulan sama ketika kedua-dua lafaz dibuat pada September 2024 dan Jun 2025.



