Pelakon, Eyra Hazali meluahkan rasa kesal apabila suaminya Haziq Nadzli yang merupakan penjaga gol pasukan Harimau Malaya teruk dimaki selepas melakukan kesilapan dalam perlawanan menentang Thailand, semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Eyra terkilan apabila segelintir peminat bola sepak sanggup mendoakan perkara buruk berlaku kepada suaminya, lebih parah turut membabitkan anak-anak mereka.
“Caci makian yang anda lemparkan, kami boleh terima. Tetapi hinaan, mendoakan suami saya lumpuh, melibatkan anak-anak kami adalah melampau. Jaga lisan,” katanya.
Dalam masa sama, Eyra turut menambah dia akan tetap memberi sokongan kepada suami tercinta, selain juga berharap agar makian netizen itu tidak akan memakan diri mereka semula.
“Saya berdoa semoga doa-doa itu tidak berbalik pada anda dan keluarga. Haziq akan sentiasa dapat sokongan kami,” tulisnya.

Sebelum ini, Harimau Malaya tumbang kepada Thailand selepas hantaran bola Haziq tersasar ke kaki pemain tengah serangan, Suphanat Mueanta yang berjaya mengumpan penyerang Patrik Gustavssoj untuk membuat gol pembukaan 1 – 0 dalam perlawanan saingan Piala Asean 2024, berlangsung di Stadium Rajamangla, Bangkok.




