London: Manchester City menjulang Piala Liga Inggeris selepas menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi final di Stadium Wembley, awal pagi tadi.
Kemenangan itu hadir hasil dua jaringan Nico O’Reilly yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Arsenal, Kepa Arrizabalaga.
Aksi seimbang pada babak pertama berubah selepas rehat apabila City tampil lebih agresif dan memberi tekanan berterusan ke atas lawan.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-60 apabila Kepa gagal menangkap kemas hantaran lintang Rayan Cherki, sebelum O’Reilly mudah menanduk masuk dari jarak dekat.
Empat minit kemudian, pemain muda itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila menanduk masuk hantaran Matheus Nunes untuk memastikan trofi kesembilan City dalam saingan itu.
Kejayaan itu juga menyaksikan pengendali City, Pep Guardiola meraih gelaran kelima dalam Piala Liga, satu rekod baharu buat dirinya.
Sebaliknya, keputusan itu menjadi tamparan buat Arsenal yang terlepas peluang menjulang trofi pertama sejak menjuarai Piala FA pada 2020.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempertaruhkan Kepa berbanding penjaga gol utama David Raya, namun keputusan itu memakan diri.
Kepa sebelum ini memiliki rekod kurang baik dalam final Piala Liga, termasuk insiden enggan dikeluarkan ketika beraksi bersama Chelsea pada 2019 serta gagal menyelamatkan sepakan penalti dan terlepas sepakan sendiri dalam final 2022 menentang Liverpool.
Walaupun tewas, Arsenal masih mempunyai peluang memburu kejuaraan lain musim ini termasuk saingan liga, selain berdepan Southampton dalam suku akhir Piala FA serta Sporting Lisbon dalam suku akhir Liga Juara-Juara.
City pula menganggap kejayaan ini penting selepas tersingkir di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, selain ketinggalan dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pengendali dari Sepanyol itu bagaimanapun masih belum mengesahkan masa depannya di Manchester, namun sambutan penuh emosi selepas wisel penamat jelas menggambarkan semangatnya masih membara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




