am@hmetro.com.my
GUNUNG Tahan, permata tertinggi Semenanjung, menanti pendaki dengan cabaran ekstrem, cerun curam, denai berlumpur, sungai deras, laluan berduri dan batu licin.
Tidak hairan, ramai tersungkur, tewas pada keletihan, kecederaan dan semangat luntur untuk menawan puncak Gunung Tahan yang setinggi 2,187 meter.
Selepas dua kali menawan Gunung Tahan pada 2020, penulis rasa cukuplah sampai di situ, laluan sejauh 64 kilometer (km) melalui pintu masuk Kuala Juram, di Merapoh, Lipis, terlalu mencabar, walaupun penuh kenangan manis, tetap meninggalkan rasa serik untuk mengulanginya.
Bagaimanapun, benar seperti kata malim gunung, trek Gunung Tahan ‘berhantu’ dan sentiasa ‘menyeru’ pendaki kembali ke gunung itu membuatkan penulis berubah fikiran, rela menyertai program Ekspedisi Kajian Kelestarian Gunung Tahan anjuran Majlis Rekreasi Pahang (MRP), baru-baru ini.
Penulis juga teruja mencuba laluan bakal ditempuhi 54 peserta ekspedisi mewakili 20 agensi kerajaan bermula di Kuala Juram dan berakhir di Kuala Tahan, Jerantut, membabitkan jarak 87km kerana ia dikatakan trek pendakian paling bahaya serta amat mencabar di negara ini.
Seperti lazim, hari pertama pendakian, dari tempat permulaan mendaki di Kuala Juram, peserta melangkah santai ke Kem Kor.
Ujian ketahanan fizikal, mental, setia kawan, kerjasama hanya bermula pada hari kedua.
Memula langkah, kami ‘memanjat’ ‘Bukit Good Morning’ yang ‘mencanak’ dan laluan panjang hingga melalui Kem Permatang, Kem Kubang, Kem V, Kem Berlumut, Kem Bongsai sebelum tiba ke Kem Botak.
Pendakian dirasa amat azab kerana perlu meredah denai becak disebabkan hujan dan meranduk takungan air serta lumpur.
Ramai mengeluh kerana jarak pendakian sejauh kira-kira 19km itu memenatkan.
Kepenatan itu terubat pagi hari ketiga kerana peserta teruja ke puncak sambil melangkah dalam suasana dingin berlatarkan keindahan Gunung Tahan.
Keceriaan menawan puncak sekelip mata berubah selepas malim gunung memberi taklimat keselamatan dan laluan ke Kem Gedung, tempat perkhemahan malam ketiga, sangat mencabar serta bahaya.
Malah, trek itu juga sudah lama tidak dilalui, mencanak dan tempoh pendakian lebih 10 jam.
Bagaimanapun, kegusaran itu terpadam kerana sepanjang langkah, pendaki terpukau dengan sajian pemandangan cantik, susunan gunung saujana mata memandang, diselimuti awan serta langit senja ketika matahari terbenam.
Setiap langkah disusun perlahan bagi menikmati keindahan tersembunyi Gunung Tahan malah ada yang leka bergambar menyebabkan ramai tiba lewat malam di Kem Gedung.
Pendakian hari keempat pula lebih mencabar kerana kami perlu menuruni curam berbahaya umpama kesan yang terbentuk akibat runtuhan tebing batu.
Setiap langkah, pendaki hanya berpaut pada akar untuk menuju puncak Tangga 15 yang terletak di lereng gunung.
Disebabkan laluan terlalu berbahaya, ada yang cedera, terkulai keletihan selain tiba lewat malam di Kem Teku.
Malam itu, tapak perkhemahan diselubungi kesedihan kerana ada pendaki menangis menyesal serta mengerang kesakitan kerana jari kuku tercabut malah sebahagiannya terlena tanpa menjamah makan malam akibat kepenatan.
Namun, pagi hari kelima, semangat peserta dibakar supaya terus melangkah dengan naratif jarak perjalanan dua hari terakhir digambarkan landai dan titik penamat semakin hampir.
Bagaimanapun, laluan ditempuhi cukup mencabar kerana peserta perlu melintasi Sungai Tahan sebanyak lapan kali untuk ke tapak perkhemahan malam terakhir di Kem Puteh.
Bukan mudah untuk melintasi sungai berarus deras, dalam dan hanya memijak batu sambil menggalas beg seberat 15 hingga 20 kilogram.
Ada peserta mengambil peluang meminum air Sungai Tahan yang mengalir jernih dan dingin di kaki Gunung Tahan untuk menghilangkan dahaga.
Malam terakhir ekspedisi, pendaki berkhemah di Kem Puteh, terletak di tebing Sungai Melanai, dan dipaksa tidur awal kerana perjalanan hari keenam ke Kuala Tahan membabitkan jarak panjang selain perlu mendaki Gunung Rajah.
Seawal jam 3 pagi, peserta sudah bersedia meneruskan pendakian, kepenatan dialami selama lima hari mendaki hilang kerana teruja untuk pulang dan membebaskan diri daripada ‘azab’ trek Gunung Tahan.
Tepat jam 4 pagi, dalam kegelapan hutan, langkah diatur penuh berhati-hati ke puncak Gunung Rajah dengan semuanya bergerak secara berkumpulan.
Selepas bersarapan di puncak itu, perjalanan diteruskan ke Kuala Tahan melalui denai semak kerana sudah lama tidak dilalui pendaki menuju Kem Tengah, Kem Melantai dan Lata Berkoh.
Seperti dijadualkan, tepat jam 6 petang, semua pendaki ditemani 17 malim gunung Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Taman Negara Pahang, selamat tiba di Kuala Tahan.
Kepenatan, penyesalan, kesakitan bertukar ceria, azab derita enam hari dilupa seketika sebaik terpandang papan tanda ‘Selamat Datang Ke Taman Negara Kuala Tahan’.
Ia umpama penawar segala penyeksaan ditempuh.
Ramai ‘berjanji’ tidak mahu menjejak lagi ke Gunung Tahan, namun penulis tidak berani berjanji lagi kerana khuatir janji diungkap dimungkiri seperti sebelum ini.
Namun, di sebalik secebis pengalaman diraih lebih 20 tahun terjebak dalam aktiviti mendaki di dalam dan luar negara, secara jujur, penulis mengakui Gunung Tahan amat cantik tetapi trek gunung itu juga paling ‘seksa’ untuk didaki.
Ramai pendaki sedia maklum bahawa Gunung Tahan adalah trek pendakian paling sukar serta mencabar di Semenanjung, namun, ramai yang kembali kerana ‘rindu’ dengan cabaran berkenaan.
Hakikat itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Khaizulnizam Mohamad Zuldin, yang berpengalaman tiga kali mendaki gunung berkenaan.
Beliau kali pertama mendaki Gunung Tahan pada 2003, diikuti pada 2008 dengan kedua-duanya melalui laluan berbeza.
“Pendaki perlu menempuh pelbagai cabaran dan halangan, kepenatan, sejuk, lapar, dahaga selain ‘memanjat’ cerun tinggi serta laluan berbahaya.
“Ketika melalui semua ‘seksaan’ itu, terlintas rasa penyesalan dan tekad tidak mahu kembali semula ke Gunung Tahan,” katanya.
Bagaimanapun, Khaizulnizam berkata, selepas semuanya selesai, rasa rindu untuk kembali ke Gunung Tahan pasti menjelma.
Kerana itu, beliau sanggup mendaki Gunung Tahan buat kali ketiga, walaupun tahu seksaan bakal dilalui.
Khaizulnizam antara 54 peserta program Ekspedisi Kajian Kelestarian Gunung Tahan anjuran Majlis Rekreasi Pahang (MRP), baru-baru ini.
“Walaupun sibuk dengan tugas harian sebagai ADUN, tetapi, untuk mendaki, kita perlu berdisiplin dalam aspek latihan, malah ia perlu dilakukan secara berterusan.
“Alhamdulillah, ini kali ketiga saya berjaya ke Gunung Tahan. Kini, saya tidak malu mengaku anak Pahang kerana sudah sampai ke puncak tertinggi negeri ini.
“Saya syorkan lebih ramai anak Pahang mengambil peluang mendaki gunung ini, terokai sendiri keunikannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




