Kesungguhan tambat hati keluarga

Kesungguhan tambat hati keluarga

nurul_husna@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bermula dengan luahan Dr Talaibek Musaev, 51, di atas kertas pembalut chopsticks, Dr Jamila Mohd, 53, tidak menyangka jodohnya ‘melekat’ bersama warga Republik Kyrgyz sejak 29 tahun lalu.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya itu berkata, pada awalnya dia tiada perancangan untuk berkahwin kerana mahu memberi fokus kepada karier yang dibina ketika itu sebagai pengajar bahasa Jepun.

“Saya mengenali suami ketika mengikuti kursus Guru Bahasa Jepun anjuran The Japan Foundation di Saitama Jepun pada 1996. Kami menjadi rapat dan dia ada meluahkan rasa suka, tetapi saya tidak menganggap perkara terlalu serius.

“Maklumlah selepas tamat kursus, kami kembali ke negara masing-masing untuk bekerja dan saya tidak menaruh harapan tinggi terhadap hubungan terjalin jarak jauh.

“Bayangkan dulu hendak berhubung tiada talian Internet dan caj panggilan ke luar negara pula terlalu mahal. Namun dia sering membuat panggilan dan kami kerap berhubung secara berutus surat.

“Tetapi suami tunjukkan kesungguhan dan serius dalam perhubungan apabila sanggup terbang ke Malaysia pada Mei 1998 untuk menemui keluarga. Pada bulan Disember tahun sama kami berkahwin apabila orang tua memberi restu,” katanya yang berasal dari Pekan, Pahang.

Dr Jamila menambah, kesungguhan dan sikap menyenangkan Dr Talaibek turut menambat hati keluarganya.

“Reaksi kenalan dan jiran sewaktu mengetahui saya berkahwin dengan Dr Talaibek sangat baik apabila mengenali Dr Talaibek.

“Saya belajar di Jepun. Pada mata mereka Dr Talaibek macam orang Jepun membuatkan ‘identiti’ negara asal (Republik Kyrgyz) kadangkala terlindung. Tambah pula mereka tahu Dr Talaibek ini Muslim, tiada kerisauan langsung dari pihak saya.

“Saya juga tidak menghadapi cabaran dikritik, dikutuk atau diperli orang sekeliling kerana mereka mengetahui latar belakang saya dan suami. Kedua-duanya belajar dan bekerja dalam bidang bahasa Jepun,” katanya.

Menyentuh sisi mengahwini pasangan warga asing, kata Dr Jamila, mengakui ada perbezaan karakter lelaki luar dan tempatan akibat pengaruh persekitaran termasuk budaya setempat.

“Saya akui mungkin pengaruh budaya atau gaya hidup setempat mempengaruhi pembawaan individu termasuk cara layanan terhadap pasangan berlainan jantina,” katanya.

Perkahwinan beliau bersama suami dikurniakan tiga anak iaitu Ainura Musaeva, 23, Aidan Musaev, 16, dan Aihana Musaeva, 15.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top