Nottingham: Kegagalan Tottenham Hotspur mendapatkan penyerang tulen walaupun membelanjakan lebih £300 juta (RM1.69 bilion) untuk membina semula skuad jelas terserlah apabila mereka sekadar seri 0-0 menentang Nottingham Forest, sekali gus meraih mata pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tetapi masih menunggu gol pertama.
Penghujung jendela perpindahan yang mengecewakan menyaksikan Spurs gagal mendapatkan penyerang Everton, Iliman Ndiaye, yang akhirnya menyertai Manchester City, manakala penjaring terbanyak kelab musim lalu, Richarlison, tidak disenaraikan dalam skuad Tottenham untuk EPL.
Pengurus Roberto De Zerbi mendapat sokongan kuat daripada kelab dalam pasaran perpindahan, terutama dengan kehadiran beberapa pemain tengah menyerang dan pemain sayap, namun jentera serangan pasukannya dilihat masih kurang berbisa.
Savio yang menyertai Tottenham bersama Omar Marmoush dari Manchester City gagal memberikan impak sebelum digantikan.
Satu-satunya penyerang tulen kelab, Dominic Solanke, hampir memecah kebuntuan lewat permainan selepas masuk sebagai pemain gantian, manakala Marmoush mensia-siakan peluang baik sebelum rehat apabila rembatan pemain itu tersasar.
Walaupun catatan tanpa bolos pertama selepas tewas 0-3 kepada Brentford dan 0-2 kepada Newcastle United di laman sendiri sesuatu yang positif, kekurangan pemain yang terbukti mampu menjaringkan gol dilihat boleh menjadi masalah besar buat Tottenham.
“Saya fikir kami bermain dengan baik tetapi kami perlu memperbaiki permainan di sepertiga akhir,” kata De Zerbi yang membantu Spurs mengelak penyingkiran musim lalu selepas mengambil alih pasukan ketika berbaki tujuh perlawanan.
Tottenham gagal memaksa penjaga gol Forest, Matz Sels, melakukan sebarang aksi menyelamat, kali pertama mereka gagal menghasilkan percubaan tepat ke sasaran dalam perlawanan EPL sejak April 2022.
Mereka juga kali terakhir gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga berturut turut pada November 2021.
Bagaimanapun, De Zerbi dari Itali itu tidak terlalu memikirkan statistik berkenaan.
“Kami boleh menjaringkan tiga atau empat gol hari ini kerana jika anda membuat keputusan yang salah, anda tidak akan menjaringkan gol. Tetapi bagi saya, ia tetap peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Dia turut yakin jaringan akan hadir tidak lama lagi.
“Saya suka pemain pemain ini. Marmoush, kami perlu menganalisis sama ada dia mampu menjaringkan 15 atau 12 gol. Saya fikir ya, kerana dia mempunyai semua kualiti yang diperlukan untuk menjaringkan jumlah gol itu.
“Dia perlu memperbaiki diri, sudah tentu. Begitu juga Domi Solanke. Saya fikir jika Domi cergas dan berada dalam keadaan fizikal terbaik, peluang yang dimilikinya tadi akan menjadi sesuatu yang berbeza,” katanya.
Mudryk belum bersedia
Kegagalan mendapatkan Ndiaye menyaksikan Spurs membuat langkah lewat untuk mendapatkan pemain sayap Ukraine, Mykhailo Mudryk, secara pinjaman selama semusim daripada Chelsea pada Selasa lalu.
Dia kemudian diturunkan sebagai pemain gantian di City Ground tetapi gagal memberikan impak besar.
“Dia belum bersedia. Dia sedang berusaha untuk mencapai tahap kecergasan fizikal terbaik. Dia memerlukan masa dan latihan,” kata De Zerbi.
Jika Tottenham kecewa, perasaan sama turut dirasai tuan rumah apabila pengurus Forest, Oliver Glasner, berasakan pasukannya dinafikan gol yang jelas selepas Neco Williams menyudahkan bola ke gawang pada babak kedua susulan keadaan kelam kabut dalam pertahanan Spurs.
Bagaimanapun, selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil Craig Pawson memutuskan bola terkena tangan Williams ketika pemain itu menerjah untuk menanduk bola di garisan gol.
“Ia tidak jelas dan nyata. Anda memerlukan empat sudut kamera berbeza dan kemudian membuat andaian bahawa dia mungkin menyentuh bola dengan lengannya.
“VAR sepatutnya memberitahu pengadil supaya kekal dengan keputusan di atas padang kerana ia berkaitan usaha menguatkan keputusan pengadil. Kekalkan keputusan di atas padang,” kata Glasner yang menyaksikan pasukannya mengumpul dua mata daripada tiga perlawanan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd
