Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) dan siri mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini telah melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan dan makna yang mendalam.
Di bawah kepimpinan cemerlang Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (Tok Mat) selaku Menteri Luar, Malaysia bukan sahaja muncul sebagai tuan rumah yang berwibawa, bahkan memacu ASEAN ke arah masa depan yang lebih tersusun, bermaruah dan berkesan.
Ketokohan beliau terserlah bukan sahaja dalam ketangkasan mengendalikan dengan penuh keyakinan 21 mesyuarat multilateral dan 15 pertemuan dua hala sepanjang AMM-58 berlangsung, malah dalam ketegasan kenyataan diplomatik yang menyuarakan kepentingan prinsip, undang-undang antarabangsa, dan maruah negara serta rantau ini.
Di bawah bimbingannya, AMM-58 telah mengeluarkan Joint Communiqué meliputi 160 poin yang merangkumi pelbagai isu serantau dan global penting dan menyeluruh sekali gus menjadi mercu tanda kepada komitmen ASEAN terhadap perpaduan, keterbukaan dan kerjasama strategik yang lebih meluas dengan rakan-rakan luar.
Dalam sidang ini, Tok Mat mengetuai pemeteraian pelbagai Pelan Tindakan (Plan of Action) bersama Rakan Dialog utama seperti China, India, Korea Selatan, Australia dan New Zealand. Termasuk di dalamnya ialah kenyataan bersama bersejarah bersama Australia – yang pertama seumpamanya yang mengaitkan ASEAN Community Vision 2045, satu langkah strategik yang meletakkan ASEAN pada peta jangka panjang dunia.
Berpandukan saranan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tok Mat turut memimpin langkah memperkukuh penyelarasan antara Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN sebagai satu anjakan penting ke arah menjadikan ASEAN bukan sahaja sebagai kuasa politik serantau, tetapi juga sebagai pemain ekonomi global yang disegani.
Di bawah kendaliannya, AMM-58 turut menyaksikan kemajuan besar dalam perluasan pengaruh Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC). Penyertaan Algeria dan Uruguay menandakan bahawa kini sebanyak 57 buah negara telah menjunjung tinggi prinsip keamanan dan kerjasama yang diasaskan ASEAN. Tok Mat juga menyelia permohonan baru dari Cyprus, Itali dan Sweden yang telah diluluskan, serta penilaian terhadap permohonan Belgium, Croatia dan Lithuania yang sedang dalam proses.
Tok Mat turut memantau rapat kemajuan proses keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN. Garis panduan yang diselaraskan bakal memastikan negara muda itu bersedia sepenuhnya menyertai keluarga ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, mencerminkan komitmen inklusif ASEAN di bawah pimpinan Malaysia.
Kehadiran kesemua Rakan Dialog dan Rakan Luar ASEAN pada AMM-58 menjadi manifestasi betapa ASEAN di bawah pimpinan Malaysia dilihat sebagai kuasa pemudah cara (convening power) yang mampu menghimpunkan kuasa-kuasa besar dunia di satu meja rundingan. Tok Mat dengan berani dan jelas mengulangi iltizam untuk mempertahankan ASEAN Centrality dan memastikan hubungan dengan rakan luar bersifat terbuka, inklusif dan berasaskan kepercayaan bersama.
Dalam isu Myanmar, Tok Mat menyerlah sebagai pemimpin yang berani dan berprinsip. Beliau lantang menyuarakan bahawa Konsensus Lima Perkara masih jauh daripada dicapai dan mendesak agar keganasan dihentikan serta bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa sekatan. Kenyataan beliau bahawa “tiada gunanya pilihan raya jika ia tidak inklusif” bukan sekadar ucapan – ia satu seruan hati nurani yang menggambarkan ketegasan moral Malaysia dalam ASEAN.
Tok Mat kekal konsisten dalam memperjuangkan pendirian Malaysia bahawa segala pertikaian di Laut China Selatan wajib diselesaikan berlandaskan undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982. Beliau menyeru agar Code of Conduct (COC) yang mengikat segera dimuktamadkan. Seruannya agar perairan itu kekal sebagai “lautan keamanan, kestabilan dan perdagangan” mengangkat ASEAN sebagai pendamai yang matang dalam dunia yang kian terpolarisasi.
Di sebalik retorik nuklear dan ketidaktentuan global, Tok Mat mempertegaskan komitmen ASEAN terhadap Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ). Beliau menyambut baik kesediaan China untuk meratifikasi protokol tanpa syarat dan menyokong penglibatan Timor-Leste, sebagai langkah memperkukuh rantau ini sebagai wilayah bebas nuklear – demi masa depan anak bangsa yang lebih selamat dan stabil.
Di pentas dunia, Tok Mat tampil sebagai pembela nasib rakyat Palestin yang dizalimi. Malaysia, melalui kepimpinan beliau, mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel sebagai satu bentuk “genosid terbuka” dan menyeru dunia untuk bertindak. Sidang CEAPAD IV yang dipengerusikannya berjaya menghasilkan Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2025 yang menyelaras bantuan kemanusiaan, pembangunan semula, dan pembinaan negara Palestin.
Beliau juga mengumumkan sumbangan Malaysia sebanyak USD1 juta kepada UNRWA dan Bulan Sabit Merah Palestin, menjadikan keseluruhan bantuan mencecah USD17 juta sejak 2023. Lebih bermakna lagi, beliau dengan berani menyeru 46 buah negara yang belum mengiktiraf Palestin supaya berbuat demikian tanpa sebarang syarat. Ini satu kenyataan tegas yang meletakkan Malaysia sebagai peneraju suara dunia Islam dan kemanusiaan sejagat.
Sepanjang AMM-58, Tok Mat membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar penganjur, tetapi pemimpin wacana dan tindakan. Ketegasan beliau dalam isu-isu seperti Myanmar, Laut China Selatan dan Palestin, digabungkan dengan kebijaksanaan strategik dalam menguruskan perluasan keahlian ASEAN dan pemeteraian pelan tindakan jangka panjang bersama Rakan Dialog, menyerlahkan diplomasi Malaysia yang matang, proaktif dan berpaksikan prinsip.
Sebagai kesimpulan, Tok Mat telah menampilkan kepimpinan yang tangkas, tegas dan berpandangan jauh dalam menjayakan AMM-58. Beliau bukan sahaja jurubicara ASEAN yang berpaksikan prinsip, malah lambang kepada Malaysia yang disegani dan diyakini.
Dengan kebijaksanaan diplomatik dan keberanian moral, Tok Mat telah memperkukuh bukan sahaja ASEAN malah maruah Malaysia dalam percaturan dunia yang penuh ketidaktentuan. Inilah wajah kepimpinan yang kita perlukan, yang mampu berdiri teguh dalam gelora dunia, memimpin dengan hikmah dan membawa harapan buat generasi mendatang.

Penulis ialah Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa di Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin – UTUSAN