Ketegangan AS-China mampu suntik ketidakstabilan

Ketegangan AS-China mampu suntik ketidakstabilan

SINGAPURA: Negara-negara Asia Tenggara kini dalam langkah berjaga-jaga terhadap ketegangan yang berlaku di antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dikhuatiri boleh menyuntik ketidakstabilan ketika rantau ini berdepan inflasi dan kelembapan ekonomi.

Profesor Madya Sains Politik Universiti Nasional Singapura, Chong Ja Ian berkata, kerajaan Asia Tenggara akan memerhati dengan teliti langkah seterusnya yang diambil oleh Beijing dan Washington untuk menghukum satu sama lain dan bagaimana tindakan itu boleh menjejaskan kepentingan serantau.

Jelas beliau, banyak negara Asia Tenggara menerima pelaburan daripada AS dan juga berdagang dengan ketara dalam perkhidmatan AS sekali gus membolehkan ekonomi mengeluarkan barangan yang dijual kepada China iaitu rakan dagang terbesar mereka.

“Ketegangan ketenteraan yang meningkat juga dikhuatiri akan menular dan hilang kawalan di dalam atau berhampiran Asia Tenggara sehingga mewujudkan ketidakstabilan yang tidak diingini,”katanya.

Pendapat sama diutarakan Pengarah Institut Pengajian China di Universiti Malaya, Ngeow Chow Bing yang menegaskan negara-negara Asia Tenggara kini sedang memerhati dengan penuh rasa gusar.

“Pusingan ketegangan ini berkemungkinan akan menguatkan lagi pendapat umum di pihak AS dan ketegangan berterusan bukanlah untuk kepentingan kolektif Asia Tenggara,” katanya.

Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menyifatkan  penangguhan perjalanan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke China ekoran insiden itu adalah sesuatu yang tidak diingini dan menyeru kedua-dua pihak untuk tidak bertindak melulu.

Insiden itu berlaku tiga bulan selepas Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan tiga jam dengan rakan sejawatannya dari AS,Joe Biden menjelang sidang kemuncak G20 di Bali. 

Pertemuan itu sebelum ini disifatkan sebagai satu langkah penting dalam menstabilkan hubungan yang semakin tegang akibat pelbagai isu, termasuk perdagangan, teknologi dan hal-hal melibatkan Taiwan.

“Keyakinan daripada mesyuarat di Bali tidak diterjemahkan ke dalam langkah membina keyakinan untuk menguruskan ketegangan dan mengelakkan kekacauan,” kata Felo Penyelidik Institut Pertahanan dan Kajian Strategik Seni Bina Keselamatan Serantau, Muhammad Faizal Abdul Rahman. 

Tambah beliau, insiden itu bukan hanya mengenai kedaulatan wilayah tetapi mengesahkan komitmen AS untuk menghalang akses dan kemajuan China dalam teknologi digital dan angkasa lepas yang boleh digunakan untuk tujuan pengawasan awam dan tentera.

“Jika benar belon China dipandu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), episod ini menunjukkan potensi risiko sistem tanpa pemandu autonomi tanpa pengawasan manusia boleh mewujudkan konflik yang tidak diingini.

“Negara di rantau itu juga bimbang tentang bagaimana China akan bertindak balas terhadap kehadiran aset AS tanpa pemandu seperti dron tinjauan bawah air di kawasan laut yang dianggap Washington sebagai perairan antarabangsa, tetapi dilihat China sebagai wilayahnya.-AGENSI