
Anggota Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) berkawal di pintu masuk sempadan India-Pakistan di Wagah susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.
NEW DELHI – Diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, pada Jumaat menyifatkan ketegangan antara India dan Pakistan sebagai membimbangkan, sambil menyertai seruan global yang menggesa kedua-dua negara menyelesaikan perbalahan melalui dialog.
Angkatan bersenjata Pakistan dan India berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan serangan pengganas yang mengorbankan 26 orang di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu.
India menuduh Pakistan terlibat dalam serangan itu, namun dakwaan tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pakistan.
“Ketegangan yang meningkat antara India dan Pakistan amat membimbangkan. Saya menggesa kedua-dua pihak agar menahan diri dan mengutamakan dialog bagi meredakan keadaan.
“Peningkatan ketegangan tidak menguntungkan sesiapa,” kata Ketua Dasar Luar EU itu dalam satu hantaran di platform X pada Jumaat.
Kallas berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, untuk menyampaikan mesej tersebut.
Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam satu kenyataan turut menyuarakan “kebimbangan mendalam terhadap keadaan keselamatan yang semakin merosot di rantau Asia Selatan” dan menyeru kedua-dua negara agar menahan diri serta “segera menyambung semula dialog”.
Beberapa pihak berkepentingan utama, termasuk Arab Saudi, Qatar, Amerika Syarikat, Rusia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, turut menggesa India dan Pakistan – dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear – supaya menahan diri dan mengelakkan konflik. – Bernama