Penyanyi, Nadeera Zaini tampil memperbetulkan salah faham segelintir netizen berhubung kenyataannya mengenai insiden pernah ‘dihalau’ oleh penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu, dari bilik latihan ketika menyertai program Vokal Bukan Sekadar Rupa sekitar tahun 2012.
Menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), Nadeera atau nama lengkapnya, Farah Nadeera Zaini, 32, menjelaskan kenyataan tersebut langsung tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya berkongsi pengalaman manis yang banyak mengajarnya tentang disiplin dan kesungguhan dalam bidang seni.
“Ketegasan Mami (Mas Idayu) sebenarnya yang membentuk saya jadi lebih berdisiplin dalam nyanyian. Sejak dari dulu, Mami antara individu yang percaya pada bakat saya dan sentiasa menyokong perjalanan seni saya.
“Jadi kepada netizen, tolong baca dan faham betul-betul sebelum membuat andaian. Jangan hanya nilai dari tajuk artikel saja,” tulisnya.

Sebelum ini, Nadeera, mengimbas kembali detik mencabar ketika menyertai pertandingan nyanyian sulungnya, Vokal Bukan Sekadar Rupa pada tahun 2012 pengalaman yang menurutnya kekal segar dalam ingatan meskipun lebih sedekad telah berlalu.
Berkongsi kisah tersebut menerusi podcast Kita-Kita Aje! yang dikendalikan pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi, Nadeera mengakui insiden paling diingatinya adalah ketika dimarahi juri dan tenaga pengajar program itu, Mas Idayu.
Artikel Berkaitan: Pernah Dimarah Mas Idayu, Nadeera Tak Lupa Detik ‘Dihalau’ Dari Bilik Latihan – “Buku Lirik Saya Dicampak”



