bisnes@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Fella Design Sdn Bhd terus memperkukuhkan lagi operasinya dengan mengetengahkan konsep terbaharu, Farmhouse Collection (koleksi rumah ladang) di Kuala Terengganu.
Pengasasnya, Andrew Chen berkata, pembaharuan konsep yang lebih segar itu adalah bagi memenuhi cita rasa pengguna di Pantai Timur selain mengikut perkembangan semasa.
Jelasnya, pelanggan di Terengganu perlu mengambil peluang itu kerana Fella Design yang beroperasi di Jalan Sultan Mohamad, Gong Kapas, Kuala Terengganu adalah satu-satunya pengeluar perabot yang memperkenalkan konsep berkenaan sepenuhnya.
“Konsep Farmhouse ini boleh dikatakan agak baharu selepas kali pertama dilancarkan di Kuala Lumpur setahun lalu dan terkini dikembangkan di Kuala Terengganu.
“Bilik pameran di sini menawarkan tiga pilihan iaitu Classic Cottage (pondok klasik), Rustic Farmhouse (rumah ladang desa) dan Modern Farmhouse (rumah ladang moden).
“Kami menampilkan suasana yang lebih santai dan perkampungan desa Melayu selain ‘English Style’ sekali gus menampakkan cita rasa Farmhouse yang sebenar kepada pengguna apatah lagi penggunaan bahan-bahan semula jadi,” katanya selepas Majlis Perasmian Farmhouse Collection di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Andrew berkata, syarikatnya yang memiliki 16 bilik pameran di seluruh negara menyasarkan peningkatan jualan berbanding tahun lalu.
“Pada tahun lalu jualan kita mencapai sasaran RM50 juta namun pada tahun ini disebabkan permintaan pasaran yang lebih baik, syarikat menyasarkan jualan melebihi angka RM50 juta.
“Jualan ini bukan hanya disasarkan dalam negara, malah turut meliputi pasaran di beberapa negara termasuk India, Indonesia, Filipina dan Timur Tengah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd