MALAYSIA bukan negara yang dibina atas satu warna dan satu budaya sahaja. Kita berdiri atas kepelbagaian bangsa, agama dan tradisi.
Dalam konteks ini, perayaan seperti Tahun Baru Cina bukan sekadar milik masyarakat Cina, tetapi menjadi sebahagian daripada wajah nasional yang dikongsi bersama.
Amalan rumah terbuka misalnya, telah lama menjadi simbol keterbukaan dan keharmonian.
Rakan-rakan berbilang kaum saling berkunjung, menikmati juadah tradisi seperti yee sang dan kuih bakul serta mengucapkan selamat tahun baharu dengan penuh keikhlasan.
Momen menggaul yee sang bersama-sama sambil mengangkatnya dengan tinggi bukan sekadar adat tetapi simbol harapan, kemakmuran dan perkongsian rezeki.
Dalam dunia yang semakin terpolarisasi oleh sentimen perkauman dan perbezaan pandangan, detik seperti inilah yang mengingatkan kita bahawa identiti Malaysia lebih besar daripada garis pemisah yang sering dibesar-besarkan. Kita mungkin berbeza bahasa dan budaya tetapi berkongsi tanah air, udara dan masa hadapan yang sama.
Lebih menarik, generasi muda hari ini semakin terbuka untuk memahami dan menghargai budaya rakan-rakan mereka. Di sekolah dan universiti, sambutan perayaan diraikan bersama.
Media sosial pula dipenuhi ucapan silang budaya, memperlihatkan semangat kebersamaan itu terus hidup walaupun dalam dunia digital.
Namun, kebersamaan ini tidak boleh diambil mudah. Ia perlu dipupuk dan dijaga. Perayaan seharusnya menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan, bukan sekadar acara tahunan tanpa makna. Mengunjungi rumah terbuka bukan hanya soal menikmati makanan tetapi tentang membina jambatan kefahaman.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar, ada juga keluarga yang meraikan perayaan secara sederhana. Cara sederhana sebegini tidak mengurangkan makna kebersamaan. Hakikatnya, nilai kekeluargaan, hormat-menghormati dan saling menyantuni jauh lebih penting daripada kemewahan hiasan atau kemeriahan mercun.
Tahun Baru Cina juga mengingatkan kita tentang konsep pertemuan semula keluarga. Tradisi makan besar pada malam sebelum tahun baharu menekankan betapa pentingnya institusi keluarga sebagai teras masyarakat. Nilai ini sebenarnya sejagat iaitu dikongsi oleh semua budaya di Malaysia.
Dalam konteks negara yang sedang berusaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian sosial, musim perayaan seperti ini adalah peluang terbaik untuk menyemai rasa saling memahami. Ia membuktikan kepelbagaian bukan ancaman tetapi aset.
Apabila seorang jiran Melayu membantu menggantung tanglung di rumah jiran Cina, atau rakan India turut sama menggaul yee sang di meja makan, di situlah lahirnya makna sebenar Malaysia. Kebersamaan yang terjalin secara semula jadi tanpa paksaan.
Tahun Baru Cina bukan sekadar lembaran baharu dalam kalendar lunar. Ia adalah cerminan wajah Malaysia, negara yang belajar untuk hidup bersama dalam perbezaan.
Dalam setiap ucapan “Gong Xi Fa Cai”, terselit doa agar kemakmuran dan kesejahteraan dikongsi bersama, bukan untuk satu komuniti sahaja tetapi untuk seluruh rakyat.
Semoga semangat Tahun Baru Cina tahun ini terus menyuburkan rasa hormat, memperkukuh persahabatan dan mengingatkan kita kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya merayakan kepelbagaian sebagai satu kesatuan.
Kerana pada akhirnya, kebersamaan dalam kepelbagaian itulah yang menjadikan kita benar-benar Malaysia. -UTUSAN
DR. ZURINA SAMSUDIN
Johor Business School,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)



