Keterangan Eda Ezrin, suami dan rakannya konsisten, tak mengaku miliki dadah – Polis

Keterangan Eda Ezrin,  suami dan rakannya konsisten, tak mengaku miliki dadah – Polis

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis menyifatkan keterangan yang diberikan oleh penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail serta suami dan rakannya adalah konsisten.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kesemua mereka mendakwa dianiayai oleh dua rakan mereka iaitu masing-masing seorang wanita dan lelaki.

Pada masa sama katanya, dua rakan mereka juga sudah dalam pemantauan pihak polis sebelum ini berkait dengan dadah.

“Kita juga akan mengesan dua individu berkenaan yang disebut oleh Eda Ezrin dan yang lain untuk siasatan kerana kedua-dua mereka memang dalam pemantauan kami.

“Setakat ini apa yang boleh saya katakan kesemua mereka termasuk Eda Ezrin, suami dan rakannya adalah selari dan mereka tidak mengaku dadah itu milik mereka sebaliknya dianiayai oleh rakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya masih boleh memanggil Eda Ezrin dan lima yang lain sekiranya ada keperluan.

Media sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin dan lima yang lain dibebaskan dari Penjara Wilayan Narathiwat pada 6 Ogos lalu selepas lebih sembilan bulan di penjara.

Eda Ezrin dan lima yang lain kemudiannya dihantar pulang ke Kelantan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Susulan kepulangan mereka, polis Kelantan mengambil keterangan selana tiga hingga lima jam di Balai Polis Rantau Panjang dan IPK Kelantan.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top