Keterasingan Islam pada akhir zaman

Keterasingan Islam pada akhir zaman

Islam pada akhir zaman kelak akan kembali dalam keadaan asing sepertimana ia bermula dalam keadaan asing. Maka, seperti Islam pada awalnya hanya dianuti segelintir manusia, dimusuhi dan berkeadaan lemah, begitu jugalah Islam pada akhir zaman nanti hanya diamalkan oleh segelintir manusia, dimusuhi dan berada dalam keadaan lemah.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali sepertimana mula dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang yang asing (ghuraba’)'”. (Riwayat Muslim)

Golongan kecil disebut sebagai orang asing (ghuraba’) itu adalah mereka yang beruntung dan akan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT. Dalam beberapa hadis lain dijelaskan mengenai sifat mereka yang boleh disenaraikan seperti berikut.

Sifat pertama, mereka melakukan islah ketika rosaknya umat manusia. Daripada Sahl bin Saad RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sepertimana mulanya, maka beruntunglah orang yang asing.’ Sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang asing itu?” Baginda menjawab: ‘Orang yang melakukan islah ketika rosaknya manusia'”. (Riwayat at-Tabarani. Hadis sahih)

Sifat kedua, mereka memisahkan diri daripada masyarakat yang sudah rosak. Daripada Abdullah bin Masud RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sepertimana mulanya, maka beruntunglah orang yang asing.’ Seseorang bertanya: ‘Siapakah orang yang asing itu?’ Baginda menjawab: ‘Orang yang memisahkan diri daripada kabilah-kabilah (masyarakat yang rosak).” (Riwayat Ahmad, ad-Darimi dan Ibnu Majah. Hadis sahih)

Sifat ketiga, mereka memperbaiki sunah Nabi SAW yang dirosakkan masyarakat. Diriwayatkan daripada Amru bin Auf RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya agama (Islam) ini bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang yang asing iaitu orang yang memperbaiki sunahku yang telah dirosakkan oleh manusia sesudahku.” (Riwayat al-Tirmizi, katanya: Hadis hasan)

Sifat keempat, nasihat mereka hanya diikuti segelintir manusia. Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata: “Suatu hari Rasulullah SAW bersabda, sedang kami berada di sisinya: ‘Beruntunglah orang yang asing.’ Lalu, baginda ditanya: ‘Siapakah orang yang asing itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: ‘Orang soleh yang berada dalam kalangan orang keji yang ramai, jumlah orang mengingkari mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka.” (Riwayat Ahmad. Hadis hasan)

Hadis tentang ghuraba’ ini turut diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA (Riwayat Muslim), Anas bin Malik RA (Riwayat Ibnu Majah), Saad bin Abi Waqqas RA (Riwayat Ahmad), Jabir bin Abdullah RA (Riwayat at-Tabarani dalam al-Awsat) dan Abdur Rahman bin Sannah RA (Riwayat Abdullah bin Ahmad).

Menurut Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Kasyf al-Kurbah Bi-Wasfi Hal Ahl al-Ghurbah, kerosakan masyarakat Islam adalah disebabkan tipu daya syaitan terhadap mereka sehingga berleluasa dalam kalangan mereka dua bentuk fitnah besar iaitu fitnah syubuhat (perkara syubhah) dan fitnah syahawat (dorongan nafsu syahwat).

Fitnah syubuhat adalah kerana timbulnya syubhah atau kesamaran dalam perkara agama sehingga munculnya pelbagai aliran fahaman yang sesat dan menyimpang daripada sunah Nabi SAW. Ini sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA yang menyatakan bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 kumpulan, namun 72 di dalam neraka dan hanya satu di dalam syurga iaitu yang mengikut jalan Nabi SAW dan sahabatnya. (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib, dan at-Tabarani dalam al-Mu’jam as-Saghir dengan sanad baik daripada hadis Anas RA)

Fitnah syahawat pula adalah kerana dorongan nafsu syahwat terhadap pesona dan nikmat dunia sehingga terabai bahkan terlucut pegangan agama daripada diri ramai umat Islam. Daripada Amru bin Auf RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan terhadap kamu sekalian, tetapi yang aku khuatirkan terhadap kamu sekalian ialah apabila dunia dibentangkan kepada kamu sebagaimana ia dibentangkan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba merebutkannya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutkannya sehingga ia akan membinasakan kamu sebagaimana ia membinasakan mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Secara ringkasnya, mereka yang disebut sebagai orang yang asing (ghuraba’) pada akhir zaman kelak adalah mereka yang terpelihara daripada fitnah syubuhat dan fitnah syahawat. Mereka ini golongan yang akan beroleh keuntungan dan kebahagiaan yang kekal abadi pada hari akhirat kelak.

Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top