Ketidakadilan pengagihan vaksin COVID-19 mengejutkan – WHO

Ketidakadilan pengagihan vaksin COVID-19 mengejutkan – WHO

BRAZZAVILLE: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membidas ketidakadilan pengagihan vaksin COVID-19 yang menyebabkan hanya empat negara Afrika mampu mencapai sasaran inokulasi setakat ini.

Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketika ucapan pembukaan mesyuarat Menteri Kesihatan Afrika secara maya, berkata hanya 140 negara di seluruh dunia sudah memberi pelalian kepada 10 peratus penduduk.

“Namun di benua Afrika, hanya empat negara mampu mencapai sasaran kerana ketidakadilan ketara dalam pengagihan vaksin.

“Krisis vaksin ini membuktikan bahawa kelemahan utama berlakunya pandemik coronavirus adalah kerana kekurangan solidariti global dan keengganan untuk berkongsi.

“Ini termasuk keengganan berkongsi maklumat, dan dara, sampel biologi, sumber, teknologi serta peralatan yang diberikan,” katanya.

Mesyuarat tiga hari itu antara lain, akan turut membincangkan ancaman penyakit lain seperti polio, barah pangkal rahim, tuberculosis, AIDS, penyakit seksual berjangkit (STD), hepatitis dan meningitis.

Sementara itu, Pengarah Serantau WHO Afrika, Matshidiso Moeti, berkata program COVAX yang turut ditaja agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga cuba mendapatkan vaksin bagi negara yang kurang mampu.

“Setakat ini WHO sudah membekalkan 40 juta dos kepada negara Afrika, namun ini hanya sebahagian kecil berbanding apa yang diperlukan benua ini untuk melindungi penduduknya daripada jangkitan dan kematian akibat COVID-19.

“Kami amat kecewa dengan kelewatan dan kesukaran untuk menepati perjanjian kerana perkara yang tidak dijangka ketika pandemik bermula, malah kami mendapat banyak pengajaran,” katanya.

Kata Moeti, COVID-19 mewujudkan banyak peluang dan amaran jelas mengenai keperluan untuk menyelaras semula sistem yang lebih menekankan keadilan bagi membina dunia yang lebih sihat lagi adil. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top