Ketidaktentuan global: Alliance Bank tawar bantuan bersasar kepada pelanggan terjejas

Ketidaktentuan global: Alliance Bank tawar bantuan bersasar kepada pelanggan terjejas
Ketidaktentuan global: Alliance Bank tawar bantuan bersasar kepada pelanggan terjejas

Bantuan bersasar oleh Alliance Bank bertujuan membantu pelanggan mengurus aliran tunai dan komitmen kewangan dalam tempoh ketidaktentuan global.

ALLIANCE Bank Malaysia Berhad mengumumkan langkah bantuan bersasar bagi menyokong pelanggan yang terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan.

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, bantuan berkenaan bertujuan meringankan kekangan kewangan jangka pendek, memastikan kelangsungan aliran tunai serta membantu pelanggan mengurus komitmen kewangan mereka sepanjang tempoh getir.

“Bantuan ini akan ditawarkan kepada pelanggan individu dan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia akan dinilai berdasarkan keadaan kewangan serta keperluan setiap pelanggan ataupun kes demi kes.

“Bank akan bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terjejas untuk meneliti pilihan fleksibiliti pembayaran balik atau bentuk bantuan lain yang bersesuaian bagi menangani cabaran kewangan sementara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan yang menjangkakan kesukaran memenuhi komitmen pembayaran balik digalakkan untuk menghubungi pihak bank lebih awal.

“Permohonan bantuan boleh dibuat dengan menghubungi pengurus perhubungan masing-masing atau melalui saluran khidmat pelanggan rasmi bank.

“Alliance Bank akan terus memantau perkembangan semasa dengan teliti dan kekal komited untuk menyokong para pelanggannya sepanjang tempoh ketidaktentuan yang semakin meningkat ini,” tambahnya.

Scroll to Top