Ketua Bahagian BERSATU Kepala Batas letak jawatan

Ketua Bahagian BERSATU Kepala Batas letak jawatan

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur : Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Khaliq Mehtab turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum ini.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan, saya berusaha sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, keikhlasan serta komitmen terhadap perjuangan parti.

“Bagaimanapun, saya akur bahawa perkhidmatan saya sebagai Ahli MPT dihentikan berikutan saya tidak menyokong sepenuhnya pendirian Presiden dalam beberapa perkara tertentu.

“Saya menghormati keputusan itu, namun sebagai Ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza adalah sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini,” katanya.

Pada masa sama, Khaliq Mehtab turut mencadangkan proses transisi kepimpinan dilaksanakan secara tuntas dan berhemah bagi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti.

“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan niat untuk menentang kepimpinan.

“Akhir sekali, saya berharap agar pada masa akan datang, pelantikan Ahli MPT dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan ‘Yes Man’.

“Parti yang kuat terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian selama satu penggal Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berhubung isu Akuan Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.

Tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti iaitu Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya; Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Bagaimanapun, kesemua ahli yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman itu berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.

Jumaat lalu, Ketua Biro Penyelidikan dan Analisis Data Penerangan BERSATU Selangor, Mohamad Shafiq Abdul Halim juga dilapor melepaskan jawatan yang disandangnya berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu sebagai tanda protes terhadap sikap Ketua Penerangan Bersatu Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa tidak memberi perhatian kepada isu Palestin dan Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top