Ketua Geng Boy cuba rempuh polis direman hingga 12 Februari depan

Ketua Geng Boy cuba rempuh polis direman hingga 12 Februari depan

am@hmetro.com.my

Kangar: Suspek lelaki yang juga dalang dan ketua kumpulan Geng Boy Arau yang cuba merempuh anggota polis sehingga tembakan terpaksa dilepaskan ketika cubaan menahannya di sebuah kafe di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di Arau, direman sehingga 12 Februari depan.

Permohonan reman selama seminggu bagi suspek berusia 47 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Kangar selepas suspek dibawa ke mahkamah sekitar jam 9 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, penahanan suspek adalah bertujuan untuk siasatan cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah Majistret Kangar membenarkan suspek ditahan selama tujuh hari dan beri ruang kepada kita untuk menyiasat selanjutnya terhadap kes yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah Geng Boy Arau yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi kereta sekitar Arau sejak sebulan lalu selepas menahan empat individu termasuk seorang wanita di Alor Setar dan Arau pada Rabu dan semalam.

Penahanan berkenaan turut membabitkan ketua kumpulan atau dalang geng berkenaan yang dikenali sebagai Boy yang bekerja di mana suspek utama itu berjaya meloloskan diri daripada polis di perkarangan kafe kampus itu sebelum ditahan sekitar jam 12.30 tengah hari semalam berhampiran kediaman suspek di Jalan Santan, Kangar.

Malah, dalam cubaan meloloskan diri daripada ditahan polis itu, suspek serta seorang lagi rakannya berada dalam sebuah kereta Perodua Alza bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis sehingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek.

Tembakan itu bagaimanapun mengenai tayar kereta sehingga menyebabkan suspek terpaksa meninggalkan kereta mereka di Taman Bersatu Arau kira-kira empat kilometer daripada kampus UiTM Perlis.

Polis yang mengejar suspek berjaya menahan rakan suspek berusia 27 tahun manakala suspek utama berjaya melarikan diri.

Dengan tertumpasnya Geng Boy Arau, polis percaya mereka berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi kereta yang berlaku di daerah itu sejak awal tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top