Ketua geng dadah Scotland dicekup di Bali

Ketua geng dadah Scotland dicekup di Bali

Denpasar: Indonesia akan menghantar pulang seorang warga United Kingdom (UK) yang ditahan di Bali, hujung minggu lalu, kerana dikehendaki Polis Antarabangsa (Interpol) atas dakwaan pengedaran dadah transnasional dan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Bali, Daniel Adityajaya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dikenal pasti sebagai ‘SL’, namun media Britain melaporkan identitinya sebagai Steven Lyons dari Scotland.

Katanya, suspek ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di pulau peranginan ini.

“Pelarian yang dikehendaki di Sepanyol itu didakwa sebagai ketua organisasi jenayah transnasional berskala besar yang terbabit dalam pengedaran dadah serta pengubahan wang haram,” katanya.

Sementara itu, Ketua Imigresen lapangan terbang, Bugie Kurniawan berkata, Lyons yang tiba dengan penerbangan dari Singapura dikesan sebagai individu dikehendaki menerusi ‘Notis Merah” Interpol ketika pemeriksaan rutin menerusi sistem.

Setiausaha Biro Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko menambah bahawa kumpulan jenayah diketuai Lyons beroperasi di beberapa negara termasuk Sepanyol, Scotland, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Turkiye.

Menurut Untung, suspek dijangka dihantar pulang ke UK pada hari ini.

Dalam pada itu, polis kini memburu dua rakan suspek yang tiba di Bali bersama-sama Lyons, namun berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top