am@hmetro.com.my
Shah Alam: Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh memberi ingatan kepada golongan yang cenderung menjatuhkan hukuman sendiri dengan mendahului mahkamah, bahawa mereka boleh tertakluk kepada tindakan menghina mahkamah.
Wan Ahmad Farid dengan itu menyeru kepada semua pihak supaya menyerahkan kepada mahkamah untuk menjalankan tugas dan hakim membuat keputusan, dan menyerahkan kepada pendakwa raya mengemukakan keterangan dan peguam bela mencabar keterangan berkenaan.
“Masalah kita adalah kadang-kadang kita mempunyai mahkamah lain, iaitu ‘mahkamah siber’. Golongan yang terbabit dalam perang siber ini menghakimi hakim, timbalan pendakwa raya dan peguam.
“Mereka yang tidak mempunyai fakta yang jelas, cenderung untuk menjatuhkan hukuman, khususnya mereka yang tidak berpuas hati dengan apa yang diputuskan.
“Ini bahayanya apabila sesuatu kes telah “dihukum” terlebih dahulu oleh masyarakat. Sebelum mahkamah buka bicara pun, sebelum saksi pertama beri keterangan, masyarakat sudah menjatuhkan hukum:
“Ini pembunuh, ini perogol, dan macam-macam lagi. Kecenderungan untuk menghukum sebelum keterangan diberikan sepatutnya tidak boleh digalakkan,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan pada program Syarahan Perdana Kehakiman 2025, anjuran Fakulti Undang-UndangUniversiti Teknologi MARA (UiTM) di Dewan Konsert Sri Budiman, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan pelajar undang-undang tahun akhir UiTM, mengenai tindakan sesetengah pihak yang semakin lantang bersuara dan mengadili keputusan mahkamah, di media sosial.
Wan Ahmad Farid berkata, sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati dan merasakan dirinya kehilangan hak, mempunyai ruang untuk membuat rayuan.
“Tapi kalau boleh, jangan kita membuat komen yang di luar batas. Kadang-kadang kita tertakluk kepada undang-undang berkaitan penghinaan mahkamah, ini yang kita cuba elakkan.
“Kalau kita sangat mahu memberi komen, ambillah undang-undang, belajar undang-undang, jadi peguam. Itulah cara yang terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




