Ketua jabatan wajib pantau staf curi tulang – Utusan Digital

SHAH ALAM: Kes ponteng atau ‘curi tulang’ dalam kalangan penjawat awam tidak akan berlaku jika ketua jabatan sendiri komited untuk membuat pemantauan berterusan ke atas kakitangan di bawah penyeliaannya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata,isu ‘curi tulang’ penjawat awam sudah lama wujud dan sering menjadi rungutan orang ramai.

“Amaran tegas perlu diberikan kepada mereka yang gagal mengemukakan surat kebenaran sebelum meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja untuk sebarang urusan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular ciapan seorang pengguna Twitter yang dipercayai marah dengan sikap penjawat awam yang keluar minum pagi hingga mendatangkan masalah untuknya berurusan.

Menurut Jais, isu ‘curi tulang’ bukan cakap kosong kerana perbuatan tersebut dikesan menerusi pemantauan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sering menerima aduan orang ramai mengenai sikap penjawat awam yang tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di tempat awam.

“Isu ini juga berkait rapat dengan soal integriti dan tatatertib.

“Kegagalan mematuhi waktu bekerja bertentangan dengan Perintah Am 5, Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974 dan Peraturan 24, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.

Katanya lagi, kebenaran untuk meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja tersebut menjelaskan bahawa jika seseorang pegawai hendak meninggalkan pejabatnya di dalam waktu bekerja, kebenaran Pegawai Penyelia hendaklah diperolehi terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihak JPA juga pernah melakukan pemantauan di sekitar premis perniagaan, pasar raya dan pusat beli-belah yang berhampiran pejabat kerajaan dan mendapati masih ada segelintir penjawat awam tidak mematuhi peraturan ini.

“Berdasarkan masalah ini MCW lebih suka mencadangkan agar perintah am tersebut diperhalusi supaya dapat dilaksanakan dengan lebih baik. Seminar Peningkatan Budaya Integriti dan Pematuhan Waktu Bekerja perlu diadakan dari semasa ke semasa agar dapat mendidik penjawat awam lebih bersikap amanah semasa menjalankan tugasan pejabat,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE