Ketua Pengarah Perisikan didakwa terima wang, tiket penerbangan isteri ke Sepanyol, Estonia

Ketua Pengarah Perisikan didakwa terima wang, tiket penerbangan isteri ke Sepanyol, Estonia

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan menerima rasuah 20,000 dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM78,000) dan RM64,600 untuk pembelian tiket penerbangan isterinya.

Bagaimanapun, Datuk Mohd Razali Alias mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang 20,000 dolar AS daripada seorang pengarah syarikat.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tertuduh meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Kem Kementah, di sini, antara Ogos dan November 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Razali didakwa menerima masing-masing RM26,800 dan RM37,800 daripada pengarah syarikat yang sama untuk pembelian tiket penerbangan isterinya.

Tiket penerbangan pergi dan balik itu adalah bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol serta antara Kuala Lumpur dan Estonia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di lokasi sama masing-masing pada 15 November 2024 dan 28 April 2025.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum boleh dihukum mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top