Ketua Polis Selangor Sahkan Wanita Warga Jepun Ma*t Terjatuh Dari Kondominium Adalah Isteri Ridzokumura

Ketua Polis Selangor Sahkan Wanita Warga Jepun Ma*t Terjatuh Dari Kondominium Adalah Isteri Ridzokumura

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan bahawa wanita warga Jepun yang ditemui maut, dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16, Subang Jaya adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh terkenal, Ridzokumura.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu sidang media hari ini.

Menurut Hussien Omar Khan, siasatan setakat ini masih diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

Beliau turut memaklumkan bahawa suami mangsa telah dipanggil bagi memberikan keterangan.

“Apabila kita menyiasat di bawah kes mati mengejut, kita akan meneliti semua aspek. Kami tetap akan melihat sebarang unsur jenayah, sama ada berkaitan tindakan mangsa atau faktor lain.

“Jika terdapat bukti yang menunjukkan unsur jenayah, barulah kes ini diklasifikasikan semula di bawah kesalahan jenayah. Siasatan sebagai mati mengejut tidak bermakna kita mengetepikan kemungkinan unsur jenayah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kematian isteri pempengaruh itu telah dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Jepun serta keluarga mangsa.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Wanita Warga Jepun Ditemui Maut Terjatuh Dari Tingkat 4 Kondominium

Pada Jumaat lalu, mangsa, Akiko Okumura, yang berusia dalam lingkungan 50-an, ditemui dalam keadaan meniarap di atas tanah oleh anggota polis peronda yang segera ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap tubuh mangsa serta lokasi kejadian tidak menemui sebarang tanda unsur jenayah.

Isteri kepada pempengaruh dan usahawan, Abd Ridzuan Abdul Mutalib,50,  difahamkan telah menetap di Malaysia selama 14 tahun.

Kematian Akiko turut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, terutamanya menerusi hantaran yang dimuat naik oleh suaminya.

 

Sumber: Buletin TV3

Scroll to Top