PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menggesa Rahmat Mohamad, pengerusi baharu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjelaskan pendiriannya terhadap Statut Rom sebelum menerima jawatan itu.
Rahmat, profesor undang-undang di Universiti Teknologi Mara, dilaporkan mengarang bersama satu kertas kerja pada 2019 yang meyakinkan Majlis Raja-raja untuk menolak ratifikasi Statut Rom, di mana Malaysia akan bersetuju dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, dalam keadaan biasa, pengerusi sebuah institusi hak asasi manusia negara sepatutnya “mengilhamkan” hak asasi manusia, tetapi bukannya Rahmat.
“Pelantikannya (Rahmat) sudah bermula dengan kontroversi, apabila beliau menulis surat menasihatkan raja-raja untuk menolak Statut Rom,” katanya kepada FMT.
Statut Rom ialah triti atau perjanjian antarabangsa yang menjadi asas kepada penubuhan ICC pada 1 Julai 2002, yang mendakwa individu melakukan jenayah antarabangsa, seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Santiago berkata, pengerusi itu perlu menjelaskan bagaimana tidak mengiktiraf triti itu menjejaskan hak asasi manusia dan hubungan kaum di Malaysia.
“Itu akan menetapkan standard atau nadanya sebagai pengerusi Suhakam.”
Santiago berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob juga perlu menjelaskan asas pelantikan anggota baharu Suhakam memandangkan kebanyakan mereka tidak diketahui memperjuangkan hak asasi manusia.
Andrew Khoo dari Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam berkata, perhatian tertumpu kepada pesuruhjaya baharu dilantik kerana beberapa ahlinya terpalit kontroversi.
Katanya, kesinambungan status A Suhakam sangat bergantung kepada kaliber suruhanjaya itu dan sejauh mana pesuruhjayanya boleh meneruskan kerja pesuruhjaya terdahulu.
Semalam, Ismail mengumumkan tujuh lagi pesuruhjaya yang dilantik menganggotai Suhakam selama tiga tahun mulai 22 Jun lalu.
Antaranya, Noor Aziah Mohd Awal, dilantik semula selepas menjadi pesuruhjaya kanak-kanak pertama Suhakam pada 2019.
Enam yang lain adalah:
- Bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan;
- Bekas ketua pengarah Jakim, Nordin Ibrahim;
- Pakar bius dan ahli Majlis Perubatan Malaysia, Dr Chew Chee Ming;
- Bekas peguam besar Sabah, Mary @ Mariati Robert;
- Peguam Hasnal Rezua Merican Habib Merican, bekas penasihat undang-undang Barisan Nasional; dan
- Peguam Nazira Abdul Rahim, pengarah Universiti Utara Malaysia.
Dr Chew dan Mariati masing-masing mewakili Sarawak serta Sabah.