Ketua tentera Uganda tuntut RM3.9 bilion dan ‘wanita tercantik’ dari Turkiye

Ketua tentera Uganda tuntut RM3.9 bilion dan ‘wanita tercantik’ dari Turkiye

KAMPALA – Ketua tentera Uganda mencetuskan kontroversi antarabangsa selepas mengemukakan tuntutan luar biasa kepada Turkiye, termasuk bayaran AS$1 bilion (RM 3.9 bilion) serta permintaan untuk wanita tercantik negara itu sebagai isteri.

Individu berkenaan, Muhoozi Kainerugaba, yang juga anak kepada Presiden Uganda, Yoweri Museveni, membuat kenyataan tersebut menerusi beberapa hantaran di platform X.

Dalam kenyataan itu, beliau menuntut Turkiye membayar AS$1 bilion sebagai dividen keselamatan, merujuk kepada peranan Uganda dalam operasi ketenteraan menentang kumpulan militan di Somalia selama hampir dua dekad.

Selain itu, beliau secara kontroversi turut menyatakan hasrat untuk mengahwini wanita paling cantik dari Turkiye.

Kainerugaba turut memberi tempoh 30 hari kepada Ankara untuk memenuhi tuntutan tersebut, sambil memberi amaran bahawa Uganda akan mengambil tindakan tegas jika ia diabaikan.

Antara langkah yang disebut termasuk menutup kedutaan Turkiye di Kampala, menyekat penerbangan Turkish Airlines serta memutuskan hubungan diplomatik.

“Jika Turkiye tidak menyelesaikan isu ini, kami akan memutuskan hubungan dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau turut menuduh Turkiye mendapat manfaat daripada projek infrastruktur dan pengangkutan di Somalia, sedangkan Uganda menanggung beban utama dalam memerangi kumpulan militan seperti Al-Shabaab di bawah misi Kesatuan Afrika.

Ini bukan kali pertama beliau mencetuskan kontroversi.

Pada 2022, Kainerugaba pernah menawarkan 100 ekor lembu baka Ankole sebagai mas kahwin untuk mengahwini Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, selain mengeluarkan kenyataan mengancam untuk menawan Rom jika tawaran itu ditolak.

Beliau juga pernah mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Kenya apabila mengeluarkan ancaman ketenteraan, yang akhirnya memaksa bapanya memohon maaf secara rasmi dan menggugurkannya sementara daripada jawatan ketua angkatan tentera.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan terbaru itu mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Uganda.

Uganda merupakan sebuah republik presidensial yang dipimpin oleh Museveni sejak 1986, namun sistem pemerintahannya sering dikritik sebagai cenderung kepada autoritarian oleh pemerhati antarabangsa.

Kontroversi terbaharu ini dijangka memberi tekanan kepada hubungan diplomatik antara Kampala dan Ankara.-Agensi

Scroll to Top