am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail hari ini menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025-2028.
Pencalonan itu sekaligus bakal menyaksikan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan itu sekali lagi mencabar penyandang jawatan berkenaan yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ini bukan kali pertama Rodziah mencabar Ahli Parlimen Nibong Tebal itu bagi jawatan berkenaan selepas melakukannya pada pemilihan PKR 2022 namun beliau tewas tipis dengan majoriti 32 undi.
Pada pemilihan itu Rodziah mendapat 18,891 undi manakala Fadhlina memperoleh 18,923 undi.
Rodziah sebelum ini dilaporkan berkata, beliau optimis mendapatkan jawatan berkenaan kerana mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam isu membabitkan wanita.
Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua Wanita PKR, setakat jam 7 petang ini hanya Juwairiya Zulkifli menghantar borang pencalonan bagi mengekalkan jawatan yang disandang.
Sebelum ini, bekas Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis dilaporkan mahu mencuba nasib merebut jawatan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd