Keuntungan bersih Matrix Concepts meningkat sehingga RM67.42 juta pada suku kedua

Keuntungan bersih Matrix Concepts meningkat sehingga RM67.42 juta pada suku kedua

Redzuan Muharam

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Seremban: Pemaju hartanah Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mencatatkan peningkatan 5.3 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan bersih kepada RM67.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2024 , berbanding RM64 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia menjadikan syarikat itu berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran setahun berikutan permintaan kukuh yang berterusan, terutamanya didorong oleh Sendayan Development.

Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata , kumpulannya mencapai peningkatan ketara dalam margin keuntungan kasar suku kedua 2025 kepada 49.8 peratus daripada 43.6 peratus pada suku sebelumnya, yang didorong oleh campuran produk menggalakkan termasuk pengiktirafan pembangunan hartanah perindustrian.

Menurut Mohamad Haslah, margin bersih meningkat kepada 21 peratus pada suku kedua tahun 2025 daripada 17.8 peratus sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan dalam pendapatan lain disebabkan keuntungan daripada pelupusan berjumlah RM11.5 juta.

“Kumpulan mencatatkan pertumbuhan jualan baharu yang berdaya tahan, 10 peratus lebih tinggi dalam jualan hartanah baharu sebanyak RM341.7 juta daripada RM310.8 juta sebelumnya.

“Ia disokong kukuh oleh pembangunan bangunan tinggi kedua Kumpulan, Levia Residence, Kuala Lumpur melengkapkan jualan daripada Sendayan Development.

“Strategi Matrix Concepts mempelbagaikan aliran pendapatannya untuk pertumbuhan masa depan yang mampan membuahkan hasil yang positif,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mohamad Haslah berkata, hasil kumpulan untuk suku kedua 2025 adalah 10.7 peratus lebih rendah tahun ke tahun pada RM321 juta berbanding RM359.4 juta sebelumnya, disebabkan pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada Sendayan Development di Negeri Sembilan.

Menurut Mohamad Haslah, kumpulan menyaksikan lonjakan 71.4 peratus dalam hasil daripada pembangunan di Lembah Klang dan Johor kepada RM16.8 juta pada suku kedua 2025 daripada RM9.8 juta sebelumnya.

“Selain itu, hasil daripada segmen pendidikan dan hospitaliti kumpulan secara kolektif meningkat sebanyak 46.6 peratus kepada RM13.3 juta pada suku kedua 2025 daripada RM9.1 juta sebelumnya.

“Ia disumbangkan oleh peningkatan prestasi dalam unit pendidikan daripada peningkatan enrolmen pelajar sepanjang tahun lalu.

“Segmen penjagaan kesihatan kumpulan juga menyumbang secara positif, dengan Pusat Perubatan Mawar di Negeri Sembilan menyumbang hasil sebanyak RM5.1 juta pada suku berkenaan,” katanya

Mohamad Haslah berkata, Matrix Concepts terus memberikan pertumbuhan yang mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham disokong oleh keuntungan yang teguh.

“Kami juga menikmati prestasi jualan yang memberangsangkan pada tahun pertama, tahun kewangan 2025 (TK2025) dan kekal di landasan untuk mencapai RM1.3 bilion dalam jualan hartanah pada tahun kewangan semasa.

“Ini memberi petanda baik dengan tradisi kami memberi ganjaran kepada pemegang saham selama lebih 10 tahun dan mengisytiharkan pembayaran dividen 10 peratus lebih tinggi pada suku kedua 2025 berbanding tahun lalu, mencerminkan prestasi kewangan kami yang kukuh dan keyakinan terhadap pertumbuhan berterusan.

“Kami terus mempelbagaikan aliran pendapatan kami dan berkembang ke sektor pertumbuhan tinggi seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan rumah mampu milik,” katanya.

pemaju hartanah, keuntungan, suku kedua, seremban, negeri sembilan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top